KUALA LUMPUR: Suasana kehijauan dan udara segar di Taman Persekutuan Bukit Kiara menjadi tarikan utama ratusan peserta yang menyertai acara jalan santai sejauh 3.2 kilometer (km) sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Program anjuran Joy Mind Centre itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif, malah memberi ruang kepada peserta merehatkan minda daripada tekanan rutin harian menerusi aktiviti bersama alam semula jadi.
Bermula pada pukul 7.30 pagi, acara berkenaan dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum peserta meneruskan perjalanan menyusuri denai hijau yang menawarkan persekitaran tenang dan mendamaikan.
Selain memupuk kecergasan fizikal, aktiviti tersebut turut menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan emosi, di samping mengeratkan hubungan sosial melalui interaksi dalam suasana santai.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah bersama isteri, Datin Hezeita, serta Pengasas Joy Mind Centre merangkap ahli psikologi klinikal, Joyce Chao.
Turut mengambil bahagian ialah penyanyi dan penulis lagu, Atilia Haron; selebriti merangkap Pengasas Miss Cosmoworld, Carrie Lee; pelakon merangkap Pengasas Lima Pulo, Alan Yun; serta pemain badminton antarabangsa yang mewakili England, Racheal Lam.
Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang itu mencerminkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental memerlukan sokongan menyeluruh, bukan hanya daripada golongan profesional, malah seluruh lapisan masyarakat.
Selain aktiviti berjalan kaki, peserta turut mengikuti sesi pendidikan bertajuk *Kenali Ubat Anda: Know Psychiatric Medication and Understand Your Mental Health* yang dikendalikan pihak Hospital Kuala Lumpur bagi memperluas pemahaman mengenai ubat-ubatan psikiatri dan rawatan kesihatan mental.
Penganjur turut menyediakan pameran kesedaran yang memaparkan kisah sebenar individu melalui proses pemulihan dengan identiti dirahsiakan, sekali gus mengetengahkan kepentingan sokongan dan rawatan bersesuaian bagi membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.

Joyce berkata, sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi peringatan kepada masyarakat supaya mengambil berat tentang kesejahteraan emosi diri sendiri dan orang di sekeliling.
“Tarikh 10 Oktober bukan sekadar catatan dalam kalendar, tetapi peringatan penting untuk menjaga kesejahteraan emosi dan bertanya khabar kepada mereka yang berada di sekeliling kita.
“Mendekati alam semula jadi membantu menenangkan sistem saraf. Kami berharap acara ini dapat menggalakkan orang ramai kembali menghargai alam dan hubungan sesama insan, selain mengamalkan gaya hidup lebih sihat,” katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut bertujuan mengumpulkan sumber bagi menyediakan bantuan terapi tajaan dan perkhidmatan kesihatan mental kepada komuniti kurang berkemampuan, khususnya golongan B40.
Reruai serta aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang program turut membuka ruang kepada orang ramai untuk berbincang secara terbuka mengenai kesihatan mental, sekali gus membantu mengurangkan stigma terhadap individu yang mendapatkan bantuan profesional.
Selepas melengkapkan laluan, peserta menikmati sarapan dalam suasana semula jadi dengan hidangan termasuk jus segar daripada Juicesup, air kelapa asli TD Farm, roti Shiopan daripada Fantasy Bakery dan nasi lemak Tongshin Terrace.
Penganjuran acara itu membuktikan aktiviti rekreasi seperti berjalan santai boleh dimanfaatkan sebagai wadah untuk menggalakkan gaya hidup aktif, mengukuhkan hubungan sosial dan meningkatkan kesedaran bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. – UTUSAN











