JOHOR BAHRU: Pengendali skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin puas dapat membantu Malaysia melangkah ke final, mengakhiri penantian 13 tahun dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC).
Nor Saiful berkata, kejayaan itu lebih bermakna selepas Young Tigers menewaskan pencabar utama, Pakistan 3-2 dalam pertembungan yang mendebarkan.
Meskipun Malaysia berjaya menewaskan Pakistan, Nor Saiful berkata, masih banyak ruang yang boleh ditambah baik khususnya bahagian serangan dan pukulan sudut penalti.
“Kita mempunyai banyak peluang pada suku pertama dan kedua, tetapi hanya berjaya menjaringkan satu gol. Sepatutnya kita boleh mendapatkan dua atau tiga gol pada peringkat itu.
“Kita juga mempunyai lima pukulan sudut penalti, tetapi tiada satu pun berjaya menghasilkan gol. Ini antara kelemahan yang perlu kita lihat semula menerusi rakaman video perlawanan,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan tersebut turut memberikan pengalaman berharga kepada pemain selain menguji keupayaan pasukan untuk beraksi di bawah tekanan dan berusaha untuk bangkit bagi mengubah keputusan tersebut.
Ulasnya, pada perlawanan itu, Young Tigers cuba mengelakkan permainan di bahagian tengah bagi mengatasi strategi Pakistan yang menggunakan formasi padat untuk memerangkap lawan.
“Pendekatan itu ada memberikan hasil, tetapi penyudahan kita masih kurang baik. Kita perlu meningkatkan kemahiran untuk menukar arah serangan, mendapatkan pukulan sudut penalti dan melakukan percubaan tepat ke arah gol,” katanya.
Katanya, tumpuannya kini terarah untuk melengkapkan jadual apabila menentang Kanada selain memastikan pemain tidak dibebani keletihan dan berisiko mengalami kecederaan.
Tambahnya, pasukan juga sedang berusaha untuk mengekalkan khidmat tonggak penting dan perancang utama, Adam Asyraf Johari bersama pasukan setelah mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan.
“Adam antara pemain terbaik kita dan kita memang memerlukannya untuk final keranabeliau memainkan peranan penting dalam mengatur permainan di bahagian tengah, kita sedang cuba untuk meminta dia kekal bersama pasukan,” ujarnya. – UTUSAN











