Malaysia capai sasaran enam emas di Aichi-Nagoya

Malaysia capai sasaran enam emas di Aichi-Nagoya

Wong Kar Gee muncul juara acara lompat jauh lelaki T12 di Sukan Para Asia 2026 di Nagoya, hari ini. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee muncul juara acara lompat jauh lelaki T12, hari ini.

Atlet berusia 35 tahun itu mencatat lompatan sejauh 6.74 meter (m) menerusi percubaan pertama di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic, sekali gus menghadiahkan pingat emas keenam negara pada temasya tersebut.

Kejayaan itu melengkapkan sasaran emas negara selepas gandingan Cheah Liek Hou-Mohamad Faris Ahmad Azri muncul juara acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal), kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu turut menyaksikan Liek Hou kembali merangkul emas acara tersebut selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, bersama gandingannya, Suhaili Laiman.

Satu lagi emas negara disumbangkan jaguh renang para, Nur Syaiful Zulkafli yang mempertahankan kejuaraan acara 100m kuak dada lelaki SB4 dengan rekod baharu temasya, semalam.

Atlet berusia 31 tahun itu mencatat masa 1 minit 41.44 saat (s) di Gimnasium Umum Bandaraya Nagoya, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada temasya kali ini.

Lebih manis, Nur Syaiful memecahkan rekod temasya miliknya sendiri sebanyak dua kali dalam tempoh sehari, bermula dengan catatan 1:41.55s pada pusingan saringan sebelum memperbaharuinya sekali lagi pada aksi final.

Terdahulu, tiga lagi pingat emas negara disumbangkan Zuhairie Ahmad Tarmizi menerusi berbasikal trek para, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting para dan Datuk Abdul Latif Romly menerusi lompat jauh T20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini