PETALING JAYA: Paramount Property menjangkakan pembangunan kediaman Seiras di Utropolis Batu Kawan, Pulau Pinang, siap lebih awal daripada jadual asal pada suku keempat 2027, susulan pencapaian peringkat struktur utama bangunan itu.
Projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM266 juta itu merangkumi 411 unit kediaman dalam sebuah menara setinggi 43 tingkat.
Majlis pemasangan struktur tertinggi menandakan penyempurnaan kerja struktur utama pembangunan berkenaan, sekali gus membolehkan pembinaan diteruskan kepada kerja seni bina, kemasan dalaman dan penyediaan kemudahan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property Wilayah Utara, Wang Chong Hwa berkata, pencapaian itu membawa pembangunan Seiras selangkah lebih dekat kepada penyerahan kepada pembeli.
“Pencapaian ini turut mencerminkan kemajuan berterusan Utropolis Batu Kawan serta komitmen kami untuk membangunkan komuniti yang saling berhubung dan memenuhi keperluan penduduk yang tinggal, bekerja serta meluangkan masa di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dilancarkan pada 2025, Seiras merupakan fasa kediaman kelima dalam pembangunan bersepadu Utropolis Batu Kawan seluas 17.93 hektar yang menggabungkan komponen kediaman, peruncitan, pejabat dan pendidikan.
Chong Hwa berkata, Utropolis Batu Kawan yang mula dibangunkan pada 2016 berkembang seiring dengan pertumbuhan Batu Kawan sebagai koridor pembangunan yang semakin pesat di tanah besar Pulau Pinang.
Menurutnya, pembangunan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan penambahan kediaman, ruang komersial dan kemudahan bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih lengkap.
“Seiras menawarkan konsep kediaman yang menyokong gaya hidup co-living dengan setiap unit mempunyai keluasan binaan kira-kira 1,033 kaki persegi, menerusi konfigurasi dua kunci dan tiga kunci.
“Konsep tiga kunci yang diperkenalkan itu merupakan yang pertama bagi pembangunan seumpamanya di Pulau Pinang, dengan menyediakan tiga ruang berasingan yang boleh diakses secara berasingan dalam satu unit kediaman,” katanya.
Reka bentuk itu membolehkan pemilik menyesuaikan penggunaan kediaman untuk keluarga berbilang generasi, perkongsian tempat tinggal atau tujuan penyewaan.
Pembangunan itu turut dilengkapi kemudahan bersama seperti ruang kerja bersama, dapur bersama, ruang santai sukan, gimnasium, kolam renang dan kawasan rekreasi, selain ciri pintar termasuk kunci digital serta infrastruktur teknologi bagi menyokong konsep kediaman berkenaan.
Utropolis Batu Kawan terletak kira-kira satu kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan berhampiran kemudahan seperti Design Village Outlet Mall, IKEA Batu Kawan, pusat penjagaan kesihatan, institusi pendidikan serta kawasan peruncitan.
Pembangunan bersepadu itu turut menempatkan kampus UOW Malaysia KDU Penang University College sebagai komponen pendidikan utamanya. –UTUSAN











