KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal dipanggil ke mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung waktu terdekat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Bersatu dipanggil ke mesyuarat itu kerana parti itu masih sebahagian daripada anggota gabungan berkenaan.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggantungan terhadap notis penggantungan PN dan pembatalan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membolehkan mereka memanggil mesyuarat jawatankuasa bagi menyusun langkah mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Perlu diingat, kami akan panggil Bersatu datang mesyuarat. Mereka adalah parti anggota lagi,” katanya ketika sidang akhbar selepas prosiding pendengaran berkait parti itu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas keputusan mahkamah itu, Takiyuddin berkata, PN kembali ‘bernyawa’ dan bersedia meneruskan pergerakan politik khususnya untuk menghadapi PRN Melaka.
Katanya, fokus utama pimpinan gabungan itu kini tertumpu sepenuhnya kepada penyusunan strategi parti dan persediaan PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan strategi berkenaan kepada umum buat masa ini.
“Itu sebagai cabaran kepada kita. Apa yang kita nak lakukan itu adalah satu strategi yang kita tidak boleh dedahkan pada masa ini.
“Kita akan menentukan bila kita akan adakan mesyuarat. Maksudnya kita boleh mengadakan mesyuarat,” katanya
Ditanyakan tentang pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, Takiyuddin memaklumkan keputusan itu masih belum muktamad.
“Itu pun belum diputuskan lagi. Ada banyak hari lagi, 10 hari lagi. Kerjasama tetap kerjasama, tapi belum lagi memuktamadkan bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN











