PUTRAJAYA: Penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan berdepan cabaran besar khususnya kekangan mendapatkan bukti serta isu kedaulatan negara yang boleh menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penggubalan akta itu perlu diteliti secara menyeluruh berikutan cabaran bidang kuasa penguatkuasaan serta implikasinya terhadap hubungan diplomatik dengan negara serantau.
“Kewajaran menggubal undang-undang berkenaan telah diteliti daripada pelbagai sudut bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara berkesan.
“Cabaran utama pelaksanaan undang-undang berkenaan ialah mendapatkan bukti mencukupi untuk menentukan punca pencemaran dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar bersama pengarang media di sini hari ini.
Menurut Arthur, ini termasuk maklumat mengenai lokasi dan koordinat kawasan kebakaran, pemilikan tanah, pihak yang menjalankan aktiviti di kawasan terbabit serta bukti yang mengaitkan kejadian kebakaran dengan pencemaran jerebu.
Katanya, maklumat berkenaan lazimnya tertakluk kepada bidang kuasa, kerahsiaan dan kedaulatan negara terbabit, sekali gus menyukarkan proses pengumpulan bukti bagi tujuan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang cadangan penggubalan undang-undang baharu perlu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan setiap peruntukannya praktikal serta boleh dikuatkuasakan dengan berkesan.
“Penelitian itu juga perlu mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dengan negara serantau, selain memastikan mekanisme perundangan yang dicadangkan mampu menangani masalah pencemaran jerebu rentas sempadan,” katanya.- UTUSAN











