Sabah mahu kawalan keselamatan maritim Kudat diperkukuh

Sabah mahu kawalan keselamatan maritim Kudat diperkukuh

HAJIJI Noor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.- JABATAN KETUA MENTERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat, khususnya perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respons yang baik.

“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, keadaan terbabit berpotensi menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi dan kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau serta ditangani secara berkesan.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan menyelaraskan perkongsian maklumat mengenai kualiti udara dan amaran cuaca, selain memantau perkembangan jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini