SHAH ALAM: Projek pendalaman dan pembaikan tebing Sungai Klang yang turut melibatkan pembersihan itu kini berada pada tahap 40 peratus siap walaupun ia sepatutnya selesai pada tahun hadapan.
Lanjutan sehingga dua tahun diperlukan bagi menyelesaikan kerja sebahagian daripada projek Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu susulan cabaran timbunan sampah yang didakwa berlapis-lapis.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, timbunan sampah berkenaan menyebabkan beberapa bahagian di sungai berkenaan menjadi cetek sehingga paras kurang satu meter.
Katanya, paras wajar Sungai Klang sepatutnya pada tahap empat meter dan keatas bagi membolehkannya menampung limpahan air dari lembangannya sepanjang 54 kilometer terutama ketika hujan.
“Timbunan sampah di dasar sungai sudah terkumpul sejak 25 tahun. Kali terakhir pengorekannya pada 2001. Kita dapati dalam sungai itu terdapat berlapis-lapis sampah. Satu lapis sampah, satu lapis lumpur, kemudian jumpa lagi sampah.
“Bukan sampah biasa, contohnya ada stroller, basikal, tilam besar-besar. Pakai mesin apa (korek sampah) pun tak boleh, rosak. Kemudian kita tambah tiga mesin pengorek. Sangat luar biasa sampah di Sungai Klang,” katanya ketika ditemui pada program Bengkel Friends of Rivers (FOR) Selangor di sini, hari ini.
Tambah Izham, pihaknya turut mengusahakan kaedah menghalang sampah daripada masuk ke dalam sungai bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kawalan di parit dan longkang.
Pada 2022, projek pembersihan dan pendalaman Sungai Klang dilapor menelan belanja sehingga RM700 juta dijangka siap dalam tempoh lima tahun sehingga tahun depan.
Projek tersebut turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Persekutuan melibatkan peruntukan tambahan bagi kawasan-kawasan tertentu sebagai usaha mengatasi masalah banjir di Lembah Klang.
Izham menambah kerajaan negeri juga membelanjakan antara RM3 juta hingga RM4 juta setiap tahun bagi menguruskan sampah-sampah di Sungai Klang.
“Sungai kita bukannya pendek, jadi apabila sampah dibuang ke dalamnya, kita hanya boleh bersihkan. Tetapi, kalau kita dapat tangkap (terutama pelupusan sampah) di kawasan tanah persendirian di sebelah sungai memang kita boleh ambil tindakan.
“Selain itu, kita turut meneliti jambatan-jambatan lama yang sebelum ini direka bagi merentasi aliran pada tahap kala purata ulangan (ARI) sehingga 100 tahun. Sekarang kita kena naikkan kepada 200 ARI,” ujarnya. – UTUSAN











