SUNGAI PETANI: Sembilan lelaki ahli ‘Geng Suria’ didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang antara 2024 hingga tahun ini.
Tertuduh, Thayalan, 28; Muhamad Rizwan Abd. Jalil, 28; B Saranraj, 38; G. Suria Prasad, 30; Kavines, 31; A. Tana Balan, 30; G. Sritharan, 39; A. Simon, 34; dan A. Suresh, 52, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Suria’ di rumah tidak bernombor, Jalan Sekerat, Pekan Lama, di sini antara Disember 2024 hingga April laluD
Berikutan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Mohd. Fakhrulrazi Ahmad Salim, sementara peguam S. Sagthiyaraj dan Mohammad Naim Kamaruddin mewakili lima tertuduh.
Tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh kerana kes berkenaan turut disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hakim menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan polis berjaya menumpaskan ‘Geng Suria’ yang aktif melakukan samun bersenjata di sekitar Kedah, menerusi operasi khas Op Sunset, bulan lalu.
Katanya, operasi bersepadu dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah itu dilancarkan di Kedah dan Perak, antara 24 hingga 27 September lalu.
Geng Suria sering menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan serta rumah kediaman yang dikenal pasti oleh ketua kumpulan. – UTUSAN











