KUALA LUMPUR: Hanya kira-kira 6,000 rakyat Malaysia mendaftar perjalanan mereka menerusi sistem e-Kaunselor sepanjang tahun lalu, meskipun beratus-ratus ribu rakyat negara ini ke luar negara setiap tahun.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah pendaftaran yang rendah itu menyukarkan usaha kerajaan menghubungi rakyat Malaysia sekiranya berlaku kecemasan atau krisis keselamatan di negara yang dikunjungi.
Beliau berkata, sistem e-Kaunselor berfungsi sebagai pangkalan maklumat bagi membolehkan Kementerian Luar berhubung dengan rakyat Malaysia, termasuk mereka yang menetap di luar negara atau ke sana untuk bercuti dan melawat keluarga.
“Saya nak ambil kesempatan di sini untuk menasihatkan semua rakyat Malaysia apabila keluar negara dan tahu destinasi mana kita nak pergi, isikan sahaja dalam e-kaunselor.
“Saya Mohamad Hassan akan berada di Melbourne dari 22 sampailah 30 hari bulan.Saya boleh dihubungi sertakan nombor telefon cukup. Tak perlu bagi tahu sebab. Tak perlu tahu alamat tempat kita di mana. Kalau boleh kita beritahulah alamat.
“Kadang-kadang kita tak tahu apa yang berlaku. Jadi e-kaunselor ini menjadi pusat data atau pusat maklumat yang mana Kementerian Luar akan dapat berurusan dengan mereka-mereka rakyat Malaysia khususnya baik yang berada menetap di sana maupun yang pergi untuk ziarah atau untuk bercuti di mana-mana tempat.
“Malangnya, untuk tahun 2025, bayangkan cuma 6,000 lebih orang sahaja yang mendaftar atau mengisi e-Kaunselor. Beratus ribu rakyat Malaysia keluar negara tetapi yang mengisi e-Kaunselor 6,000 lebih sahaja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah penambahbaikan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara supaya maklumat perjalanan dan lokasi dapat dikemas kini dengan segera.
Mohamad berkata, kepentingan pendaftaran itu lebih ketara apabila rakyat Malaysia berdepan situasi kecemasan termasuk konflik bersenjata yang memerlukan tindakan segera untuk membawa mereka keluar dari kawasan berbahaya.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan kini berusaha memindahkan sebuah keluarga dan seorang lagi rakyat Malaysia, keseluruhannya lima orang, dari Yaman berikutan keadaan keselamatan di kawasan tempat tinggal mereka yang tidak selamat.
“Jadi apabila ada maklumat rakyat Malaysia, kita senang berurusan dengan mereka. Apa sahaja yang kita nak beritahu, apa sahaja kejadian yang berlaku, kita boleh berhubung dan mereka boleh menghubungi kedutaan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak hanya menghubungi kerajaan selepas berlaku sesuatu kejadian, sebaliknya mengambil langkah awal dengan mendaftarkan perjalanan masing-masing.
Katanya, maklumat asas seperti destinasi, lokasi penginapan jika boleh diberikan dan nombor telefon sudah memadai untuk membantu pihak berkuasa mengesan serta menghubungi mereka ketika diperlukan.
Beliau turut memberi jaminan maklumat yang diberikan tidak akan didedahkan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
“Hubungilah kedutaan kerana kedutaan merupakan kerajaan Malaysia di negara tersebut. Kita tidak akan mendedahkan sebarang maklumat kepada pihak-pihak yang mahukan maklumat,” katanya.
Menurutnya, pendaftaran itu bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya langkah penting bagi membolehkan kerajaan bertindak dengan lebih pantas apabila keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terancam. – UTUSAN











