PETALING JAYA: Tokoh dan pemimpin politik veteran diingatkan supaya tidak melenting atau bertindak menyerang golongan muda apabila mereka bersuara berhubung isu integriti, rasuah mahupun salah guna kuasa.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, mahasiswa sepatutnya diberi ruang untuk menyuarakan pandangan secara kritis tanpa perlu berdepan sebarang ancaman mahupun kecaman.
Beliau menzahirkan solidariti penuh kepada mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang berdepan tekanan dan kecaman selepas menyuarakan pandangan berhubung isu kutipan dana awam bagi membatu denda RM50 juta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika hujahnya salah, jawab dengan fakta. Jika bahasanya keras, tegur bahasanya. Jangan pecahkan cermin hanya kerana kita tidak suka bayangan yang dipantulkannya.
“Yang menghairankan saya, pemain politik tua pun melenting apabila mahasiswa bersuara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, semua pihak perlu mengikis amalan politik identiti yang mementingkan kesetiaan parti, kaum atau pemimpin melebihi prinsip kebenaran dan keadilan.
Katanya, amalan dwi-standard dalam menilai sesuatu kesalahan mengikut kelompok politik masing-masing perlu dihentikan segera.
“Prinsip bukan baju parti yang boleh ditukar mengikut kepentingan. Prinsip ialah kompas yang mesti menunjukkan arah yang sama, walau siapa pun yang memegang kuasa.
“Kalau pemimpin lawan melakukan kesalahan, kita mahu dia dihukum. Namun kalau pemimpin sendiri melakukan kesalahan, kita mula mencari alasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa mahasiswa di seluruh negara supaya tidak takut untuk berfikir secara kritis, menyemak fakta serta berani bersuara menentang sebarang bentuk kepatuhan membuta tuli.
Katanya, institusi pengajian tinggi tidak sepatutnya dijadikan tempat melahirkan golongan yang hanya tahu mengikut perintah tanpa persoalan.
“Universiti bukan kilang melahirkan pengikut yang hanya tahu mengangguk. Universiti mesti menjadi medan melahirkan generasi yang berani bertanya, berani menegur dan berani mempertahankan prinsip.
“Negara ini tidak memerlukan generasi yang sekadar pandai mempertahankan pemimpin, sebaliknya memerlukan generasi yang berani mempertahankan kebenaran walaupun kebenaran itu tidak menyebelahi pemimpin yang mereka sokong,” katanya. – UTUSAN











