KUALA LUMPUR: Tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial serta kekangan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan anak muda.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pengesanan awal amat penting bagi memastikan golongan berkenaan mendapat intervensi dan rawatan sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Beliau berkata, ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental yang dialami golongan itu.
“Pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental anak muda antaranya faktor tekanan mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial dan masalah kewangan.
“Ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling berperanan dalam mengenal pasti tanda-tanda masalah kesihatan mental yang dialami oleh anak muda bagi membolehkan intervensi dan rawatan sewajarnya dapat diberi lebih awal,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang meminta kerajaan menyatakan penilaian terhadap tahap kesejahteraan mental dalam kalangan anak muda dan wanita muda di Malaysia, selain cadangan menubuhkan pasukan petugas khas rentas kementerian bagi melaksanakan intervensi awal.
Menurut Dzulkefly, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati prevalens kemurungan dalam kalangan individu berusia 16 tahun ke atas ialah 4.6 peratus, bersamaan kira-kira sejuta orang.
“Hasil NHMS tahun 2023 mendapati prevalen kemurungan dalam kalangan mereka yang berumur 16 tahun ke atas adalah sebanyak 4.6 peratus (kira-kira 1 juta orang).
“Kumpulan anak muda atau belia mencatatkan kadar tertinggi, di mana prevalen kemurungan berada pada 7.9 peratus bagi lingkungan umur 16 hingga 19 tahun dan 7.6 peratus bagi umur 20 hingga 29 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, hasil NHMS 2022 mendapati 11.2 peratus ibu mengalami kemurungan selepas bersalin.
Lebih membimbangkan, katanya, sembilan daripada 10 ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin tidak menyedari masalah yang dialami, dengan keadaan itu lebih banyak berlaku dalam kalangan ibu muda dan mereka yang tinggal di bandar.
Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau tahap kesihatan mental rakyat tanpa mengira latar belakang, termasuk anak muda dan wanita muda.
Katanya, menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM berperanan menerajui dan menyelaras dasar kesihatan mental negara merentas kementerian serta agensi kerajaan, termasuk dalam aspek pengurusan krisis, pembangunan dasar, intervensi dan latihan.
Beliau berkata, KKM turut menyambut baik cadangan penubuhan pasukan petugas khas rentas kementerian yang menggabungkan kepakaran dalam bidang kesihatan, pendidikan, pekerjaan, keluarga dan komuniti bagi memperkukuh usaha intervensi awal.
“KKM menyambut baik cadangan penubuhan pasukan petugas khas rentas kementerian dengan penggabungan kepakaran pelbagai kementerian untuk intervensi awal di peringkat pendidikan,pekerjaan, keluarga dan komuniti,” katanya. – UTUSAN











