KUANTAN: Sebanyak 3,703 saman berstatus waran tangkap di Pahang belum diselesaikan setakat bulan lalu sekali gus mendedahkan masih terdapat pengguna jalan raya yang culas melunaskan saman atas kesalahan trafik masing-masing.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan statistik kontinjen Pahang, sebanyak 12,217 saman berstatus waran tangkap didaftarkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini dengan 8,415 saman dilaporkan diselesaikan dalam tempoh berkenaan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya membuat semakan saman dan menyelesaikan bayaran dengan segera bagi mengelak saman biasa bertukar kepada status waran tangkap, bergantung pada jenis kesalahan dilakukan.
“Jika saman tidak dibayar, ia boleh bertukar kepada status waran tangkap dan keadaan itu menyukarkan pengguna jalan raya ketika hendak memperbaharui cukai jalan. Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan di balai trafik berhampiran atau menggunakan aplikasi MyBayar PDRM bagi menyelesaikan saman dengan segera,” katanya selepas merasmikan pengoperasian Kaunter Saman Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, di sini hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, statistik kemalangan jalan raya di Pahang turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 18,688 kes direkodkan sehingga September lalu berbanding 18,234 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu kenaikan 454 kes atau 2.5 peratus.
Jumlah kemalangan maut pula meningkat daripada 317 kes tahun lalu kepada 342 kes tahun ini manakala jumlah kematian turut bertambah daripada 371 kepada 383 orang dalam tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, Azry Akmar mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan semua pihak. – UTUSAN











