JAKARTA: Tiga syarikat pelaburan asing disyaki terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu di Malaysia, Singapura. Timor-Leste serta sebahagian Filipna.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto mendedahkan bahawa lapan syarikat turut disyaki terlibat dalam kes kebakaran hutan dan tanah itu.
“Kami sudah mengenal pasti 11 syarikat sebagai suspek. Tiga daripadanya ialah syarikat pelaburan asing, manakala siasatan masih diteruskan,” katanya di Istana Presiden di Jakarta pada malam semalam.
Beliau mendakwa polis tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam menyiasat syarikat terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua bagi Penyelarasan Keupayaan dan Kerjasama Pertahanan di Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang serta Keselamatan, Kresno Pratowo menjelaskan bahawa terdapat 98 laporan berkaitan kebakaran hutan termasuk tanah diterima baru-baru ini.
Menurut Kresno, proses penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab susulan kebakaran hutan dan tanah, khususnya syarikat, mengambil masa yang agak lama.
“Proses ini sememangnya agak panjang. Namun, saya menggalakkan perkara ini didedahkan kepada umum,” kata Kresno ketika Diskusi Redaksi mengenai kebakaran hutan dan tanah di Amanaia Satrio, Jakarta Selatan, pada Rabu.
Dalam majlis sama, Pengarah Kawalan Kebakaran Hutan di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Thomas Nifinluri senada dengan Kresno bahawa tindakan undang-undang terhadap syarikat perlu dilakukan dengan berhati-hati.
“Ini melibatkan kedudukan undang-undang yang mesti dibuktikan dengan jelas dan tepat. Jadi, ia bukan sekadar cakap-cakap, sebaliknya mesti disokong bukti kukuh,” katanya.
Menurut Thomas, usaha menangani syarikat yang terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah memerlukan penilaian terhadap tahap pematuhan serta infrastruktur yang disediakan oleh syarikat berkenaan.
“Jadi, semuanya diperiksa, termasuk sama ada mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP), sistem amaran awal seperti sistem pengesanan titik panas dan prosedur pelaporan,” jelasnya.
Indonesia mengalami kebakaran hutan setiap musim kemarau.
Namun, kebakaran pada 2026 lebih serius berbanding tahun-tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino yang melanda dengan lebih kuat. – AGENSI











