LANGKAWI: Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Samsulmuddin Sulaiman, 52, meninggal dunia, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.21 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM).
Katanya, kematian Allahyarham dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi pelbagai organ.
“Pemergian arwah merupakan satu kehilangan buat seluruh warga PDRM, khususnya warga IPD Langkawi. Semoga segala jasa dan khidmat bakti arwah sepanjang menjalankan amanah kepada pasukan dicatat sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi Facebook Polis Langkawi, hari ini.
Tambah Khairul Azhar, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham, Mahani Md. Sidek yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Langkawi serta seluruh ahli keluarga.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook Polis Langkawi malam tadi, Allahyarham Samsulmuddin dilaporkan terpaksa ditidurkan ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Allahyarham juga pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sejak 29 September lalu. – UTUSAN











