KUALA LUMPUR: Ragbi Malaysia (MR) menjadikan Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Kebangsaan 2026 sebagai platform terbaik bagi mencari bakat baharu dalam pembentukkan skuad negara ketika Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027.
Timbalan Presiden MR, Mohd Azmir Zanul Abdin, berkata penyertaan 39 pasukan dalam kejohanan yang berlangsung di Terengganu dari 13 hingga 15 November ini menyediakan kelompok pemain yang mencukupi untuk dinilai bagi persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Jika dibandingkan dengan tahun lalu, perbezaan penyertaan tidak begitu besar. Saya rasa jumlah 39 pasukan kali ini mencukupi dan cukup besar untuk kita mengenal pasti kelompok bakat bagi persiapan Sukan SEA tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bagi memastikan tumpuan pemilihan diberikan kepada pemain tempatan, badan induk ragbi negara itu menetapkan hanya warganegara Malaysia dibenarkan beraksi tanpa penyertaan pemain import.
“Setiap pasukan bertanding boleh mendaftarkan pasukan mereka paling lewat dua minggu sebelum kejohanan berlangsung dan kali ini kami memang tidak membenarkan sebarang pemain import. Kita mahu fokus kepada pemain tempatan bagi pemilihan Sukan SEA,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan venue pertandingan, Azmir memberitahu Terengganu dipilih berdasarkan pengalaman mereka menganjurkan kejohanan tersebut selain kemudahan fasiliti yang disediakan kerajaan negeri.
“Terengganu menganjurkan kejohanan ini dengan baik pada edisi-edisi terdahulu malah dengan kemudahan yang ada, saya fikir itu dapat membantu kami mengurangkan kos operasi dan sebab itu mereka jadi penganjur bersama,” katanya.
Kejohanan tersebut dianjurkan MR dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu. – UTUSAN











