Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik teruskan kemaraan ke pusingan kedua

Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik teruskan kemaraan ke pusingan kedua

PEARLY Tan-M. Thinaah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara Terbuka Denmark, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak kemenangan apabila mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.

Beregu No. 4 dunia itu menewaskan wakil Turki, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci 21-11, 21-15 dalam masa 37 minit pada peringkat 32 terbaik.

Kejayaan itu menemukan Pearly-Thinaah dengan rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang juga mengambil masa 37 minit untuk mengetepikan beregu tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante 21-11, 21-12.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menundukkan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China 21-15, 21-19 dalam masa 37 minit.

Pada peringkat 16 terbaik, gandingan No. 4 dunia itu akan bertemu pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang menewaskan beregu veteran Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-19, 10-21, 19-21 dalam masa 56 minit.

Satu lagi gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula dipaksa bekerja keras sebelum mengalahkan pasangan No. 18 dunia dari Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun 18-21, 21-15, 21-17 dalam masa 55 minit.

Beregu yang kini menghuni ranking No. 11 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan gandingan No. 13 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi juga dari Jepun di peringkat 16 terbaik.

Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang ditunjukkan jalan keluar oleh Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China 16-22, 15-21 dalam masa 37 minit.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, nasib berbeza mengiringi dua pasangan profesional Malaysia apabila Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan kemaraan, manakala, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tersingkir.

Pang Ron-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-31 dunia menewaskan gandingan No. 26 dunia, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China 14-21, 21-15, 21-15 dalam masa 46 minit.

Pada peringkat seterusnya, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui.

Pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon yang merupakan beregu No. 9 dunia pula dikejutkan gandingan ke-27 dunia, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen dari Jerman 21-17, 15-21, 20-22 dalam masa 55 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini