PETALING JAYA: Kepercayaan dan keyakinan bersama menjadi asas kepada kerjasama pertahanan Malaysia dan Jepun, merangkumi pemindahan teknologi, pembangunan industri pertahanan tempatan serta perolehan aset ketenteraan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jepun selama empat hari bermula 18 Oktober lalu, yang membuka ruang kepada kedua-dua negara memperkukuh hubungan strategik ketika rantau ini berdepan cabaran keselamatan semakin kompleks.
Mohamed Khaled berkata, hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 dan diperkukuh menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023 menjadi landasan penting untuk kerjasama itu.
Katanya, perubahan dasar Jepun yang membolehkan kerjasama pertahanan lebih luas, termasuk pengeksportan aset ketenteraan, turut membuka peluang kepada Malaysia memanfaatkan kemajuan teknologi dan kepakaran industri pertahanan negara itu.
Sehubungan itu, Malaysia dan Jepun bersetuju meneroka kaedah perolehan aset pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), bukan sekadar untuk memenuhi keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah turut membawa manfaat jangka panjang kepada industri pertahanan tempatan.
“Jepun telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi dan pembangunan industri pertahanan Malaysia,” katanya.
Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, dalam pada itu turut membincangkan cadangan mengadakan mesyuarat tahunan di peringkat Menteri Pertahanan secara bergilir antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua negara turut bersetuju memperbanyak latihan ketenteraan bilateral, termasuk menerapkan elemen siber, selain meneroka pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama Maritim bagi menyusun kerjasama secara lebih teratur,” katanya.
Dalam pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Jepun, Toshimitsu Motegi, Malaysia dan Jepun memeterai dokumen Official Security Assistance OSA 2026 membabitkan sebuah sistem Counter-Unmanned Aerial System (C-UAS) bernilai 1.65 bilion yen (kira-kira RM40 juta).
Mohamed Khaled berkata, Malaysia merupakan antara negara penerima terawal program OSA sejak diperkenalkan pada 2023. melibatkan penerimaan 14 unit pesawat tanpa pemandu (UAV) jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL), tujuh bot penyelamat serta dua lori pembersihan jalan.
“Bagi OSA 2025 pula, Jepun memperuntukkan 3.1 bilion yen, (kira-kira RM80 juta), bagi sebuah Diving Support Vessel (DSV) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka diserahkan pada 2029, selain peralatan untuk menyokong Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) di sempadan Thailand-Kemboja,” ujarnya.
Katanya, Malaysia menghargai komitmen Jepun menerusi program itu dan mencadangkan supaya OSA diteruskan serta dikembangkan menjadi pakej pembangunan keupayaan maritim bersepadu jangka panjang, khususnya bagi memperkukuh pengawasan dan kesedaran domain maritim.
Selain perbincangan di peringkat kerajaan, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama industri menerusi pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistic Agency Jepun (ATLA) bagi meneliti pendekatan negara itu dalam pembangunan industri pertahanan serta peluang pemindahan teknologi dan penghasilan komponen tempatan.
Mohamed Khaled turut melawat syarikat pertahanan Toshiba di Komukai Complex, Kawasaki, Kanagawa, bagi meninjau teknologi radar, sistem pertahanan udara, sistem arahan, kawalan dan perisikan serta penyelesaian anti-dron, di samping mengenal pasti potensi kerjasama dengan industri pertahanan Malaysia.
Mohamed Khaled berkata, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada 2027, kedua-dua negara diharapkan terus memperkukuh hubungan berteraskan kepercayaan dan keyakinan bersama bagi memperluas kerjasama pertahanan serta menghadapi cabaran keselamatan serantau.
“Hubungan kedua-dua negara diharapkan akan menjadi semakin akrab, berteraskan kepercayaan dan keyakinan bersama untuk memperkukuh kerjasama pertahanan serta menghadapi cabaran keselamatan serantau,” katanya.-UTUSAN.











