Iran akui hadapi tekanan kewangan, nafi ekonomi runtuh

Iran akui hadapi tekanan kewangan, nafi ekonomi runtuh

PENDUDUK melalui kawasan jalan raya yang sibuk melepasi sebuah papan iklan memaparkan gambar pemimpin yang terkorban di Teheran, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menolak dakwaan negara itu tidak lagi mampu membiayai sekutu serantaunya, namun mengakui sekatan Amerika Syarikat (AS) dan perang yang berterusan menimbulkan cabaran kewangan kepada Teheran.

Ketua Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper minggu lalu mendakwa gabungan serangan ketenteraan dan sekatan laut terhadap pelabuhan di selatan Iran memberikan tamparan hebat kepada negara itu.

Beliau berkata, AS menghalang eksport minyak mentah Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$25 bilion (RM102 bilion) dan membantu membekukan aset matawang kripto bernilai kira-kira AS350 juta (RM1.4 bilion).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Cooper, keadaan itu menyebabkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) tidak lagi mampu membayar gaji anggota tenteranya, manakala kumpulan serantau yang mempunyai hubungan dengan Iran turut berdepan kekurangan dana.

Keadaan itu digambarkan sebagai kemenangan AS dalam perang dengan Iran, yang setakat ini dilihat hanya mencatatkan sedikit kejayaan nyata bagi Washington.

Ekonomi Iran mengalami tekanan berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat perang, salah urus domestik dan sekatan antarabangsa.

Keadaan itu menyebabkan inflasi melonjak, pekerjaan bergaji rendah, nilai mata wang negara merosot serta pengasingan daripada ekonomi global bagi kira-kira 90 juta penduduk Iran.

Prospek pemulihan juga masih suram apabila Bank Dunia awal bulan ini mengunjurkan ekonomi Iran menguncup sebanyak 7.7 peratus pada tahun fiskal 2026-2027.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran menegaskan tekanan ekonomi itu tidak akan melemahkan pendirian mereka.

Teheran turut menolak penilaian Jabatan Perbendaharaan AS kononnya tekanan ekonomi boleh menyebabkan kerajaan kehilangan kawalan dalam tempoh beberapa bulan.

“Walaupun berdepan semua tekanan ini, ekonomi Iran menunjukkan daya tahan yang sangat baik dan dakwaan ekonomi negara itu sedang runtuh tidak lebih daripada satu ilusi,” kata Ketua Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengakui serangan ketenteraan dan sekatan maritim menimbulkan masalah besar kepada negara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan bergantung pada keupayaan domestik untuk menghadapi tekanan berkenaan.

Beliau mendakwa langkah mengurus penggunaan bahan api membolehkan Iran mengelakkan keperluan mengimport petrol yang sebaliknya akan menelan belanja AS$12 bilion (RM49 bilion), sekiranya tekanan AS membenarkan import dilakukan.

Pezeshkian turut berjanji memulangkan hasil daripada kenaikan harga bahan api baru-baru ini kepada isi rumah menerusi peningkatan kecil nilai baucar makanan elektronik.

Ketua Penyelidikan Asia Barat dan Afrika Utara Firma Horizon Engage, Michael Knights berkata, Presiden AS, Donald Trump mempertaruhkan harapan kemiskinan akan menjadikan rejim Iran lebih mudah bertolak ansur, tetapi pertaruhan itu tidak pernah menjadi pilihan yang baik.

Felo Kanan Pusat Dasar Antarabangsa berpangkalan di Washington, Negar Mortazavi berkata, beliau menjangkakan Teheran akan terus mengutamakan kumpulan sekutu serantaunya walaupun berdepan tekanan kewangan.

“Tekanan ekonomi sememangnya mengehadkan sumber ketenteraan Iran, tetapi itu tidak bermakna ia akan mengubah secara asas pertimbangan strategik IRGC atau memaksa Teheran menyerah kalah,” katanya kepada Al Jazeera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini