BUKALAH ruangan komen di Facebook, TikTok atau Threads. Ada sahaja yang mahu mengajar, menyedarkan atau membetulkan orang lain.
Tidak salah pun menegur. Masyarakat memang memerlukan orang yang berani bersuara apabila sesuatu perkara tidak kena pada tempatnya.
Masalahnya, kita semakin sukar membezakan antara menegur dengan menghukum. Kadangkala, belum sempat keadaan sebenar dijelaskan, hukuman sudah terlebih dahulu dijatuhkan oleh warga maya.
Lihat sahaja kontroversi sebuah kopitiam baru-baru ini berkait penggunaan bahasa Inggeris dan Cina pada menu tanpa bahasa Melayu mencetuskan kritikan, malah seruan boikot.
Kritikan tersebut ada asasnya. Sebagai jenama tempatan, penggunaan bahasa kebangsaan sewajarnya diutamakan. Pihak kopitiam berkenaan kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan menu baharu menggunakan bahasa Melayu sedang diusahakan. Namun, apabila kesalahan telah diakui dan usaha pembetulan diumumkan, apakah sebenarnya yang kita mahukan? Perubahan atau hukuman?
Boikot merupakan hak pengguna. Syarikat juga tidak sepatutnya terlepas daripada kritikan hanya kerana sudah meminta maaf. Janji pembetulan tetap perlu ditunaikan tetapi jika setiap kesalahan terus dibalas dengan tuntutan boikot, di manakah ruang untuk memperbaiki keadaan?
Ada kalanya kita terlalu seronok berada di pihak yang betul. Kita bukan sekadar mahu membetulkan perbuatan seseorang tetapi mahu menunjukkan kita lebih tahu, lebih bermoral atau lebih beragama. Sebab itu ada teguran yang bunyinya seperti pertandingan siapa yang paling suci. “Mak ayah tak ajar ke?”, “Tak tahu agama?”. Ayat-ayat sebegini mungkin mendapat ratusan tanda suka tetapi adakah ia membantu?
Media sosial pula menjadikan keadaan lebih buruk. Kandungan yang mencetuskan kemarahan mudah mendapat perhatian. Seorang menegur, orang lain menyimbah api menambah kecaman. Ada pula yang menghasilkan video reaksi dan mengungkit segenap kesalahan lama. Akhirnya, kesalahan mungkin sudah diperbetulkan tetapi kemarahan terus dipanjangkan.
Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), ke-105 tenpoh hari amat bertepatan dengan keadaan masyarakat hari ini. Baginda mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai tempat menghina, mencaci atau menjatuhkan maruah orang lain.
Kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, manakala perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk bermusuhan. Pesanan baginda bukan bermaksud kita perlu berdiam diri apabila melihat kesalahan. Sebaliknya, perlu belajar menyampaikan teguran dengan cara yang lebih baik.
Ironinya, kita boleh bersungguh-sungguh mempertahankan nilai agama tetapi terlupa tentang adab dan ihsan yang dianjurkan agama saat kita menegur.
Maka, sebelum melontarkan komen, fahami keseluruhan cerita. Jangan cepat membuat kesimpulan berdasarkan sebuah video pendek atau tangkap layar. Kritiklah perbuatan, bukan menghina orangnya.
Jika isu melibatkan syarikat, tuntutlah pembetulan. Jika janji tidak ditunaikan, teruskan mendesak tetapi jika perubahan telah dilakukan, bersedialah untuk mengiktirafnya.
Paling penting, berikan ruang untuk manusia berubah. Setiap orang pernah melakukan kesalahan, termasuk kita sendiri. Bezanya, mungkin kesalahan kita tidak pernah dirakam atau ditularkan.
Malaysia tidak kekurangan warga yang berani bersuara dan mempertahankan hak. Namun, keberanian itu perlu disertai kebijaksanaan menilai dan kesediaan memberi peluang kedua.
Masyarakat yang matang bukan masyarakat yang paling cepat menghukum tetapi tahu bagaimana membetulkan kesalahan tanpa menjatuhkan maruah manusia. –UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan,
Akademi Pengajian Bahasa,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Perak











