Kisah parti yang tumbang bukan di peti undi

Kisah parti yang tumbang bukan di peti undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIKATAN Nasional (PN) tumbang bukan di peti undi tetapi di meja pentadbiran apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftarannya. 

Sebuah gabungan yang pernah mengangkat diri sebagai alternatif kepada kerajaan perlu berdepan hakikat pahit apabila masalah dalaman sendiri menjadi antara persoalan utama masa depannya.

PN dibina atas nama penyatuan tetapi akhirnya terperangkap dalam pertelingkahan sesama sendiri. 

Persoalannya adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas masih mempunyai keinginan untuk menyelamatkan sebuah gabungan yang semakin kehilangan alasan untuk terus dipertahan?

PN menyediakan ruang untuk Bersatu bergerak bersama rakan yang mempunyai kekuatan akar umbi. Tanpa PN, Bersatu hilang arah untuk mempertahankan kedudukan dan pengaruhnya dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Namun, Pas juga tidak boleh terus menganggap kekuatan jentera dan sokongan penyokongnya sebagai tiket untuk menentukan segala-galanya. 

Di sinilah masalah sebenar PN. Apabila gabungan dibentuk, semua pihak bercakap tentang perjuangan bersama. Tetapi apabila timbul pertikaian, masing-masing mula berkira tentang kuasa, kedudukan dan hak sendiri. 

Kesepakatan yang sepatutnya menjadi asas gabungan akhirnya kelihatan seperti perjanjian yang hanya bertahan selagi kepentingan setiap pihak tidak terganggu.

Lebih menarik, ketika PN berdepan nasib sedemikian, Pas dan Bersatu perlu menentukan jajaran baharu masing-masing. Jika ada usaha menghidupkan semula PN, siapa yang akan mengetuainya?

Menghidupkan semula PN dengan menukar nama, struktur atau kepimpinan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah jika budaya politiknya kekal sama. Rakyat tidak memerlukan sebuah gabungan yang hanya sibuk menentukan siapa paling berkuasa. Rakyat memerlukan pembangkang yang mampu menawarkan dasar, menyemak tindakan kerajaan dan mengemukakan penyelesaian terhadap masalah kehidupan harian.

Lebih-lebih lagi, PN perlu menjelaskan kepada penyokongnya bagaimana sebuah gabungan yang membawa imej kesatuan boleh sampai ke tahap pendaftarannya dibatalkan. Penyokong yang selama ini mempertahankan gabungan itu berhak mendapat penjelasan, bukan sekadar kenyataan saling menyalahkan.

Jadi, siapa perlu menanggung dosa menguburkan PN? Tidak wajar meletakkan semua kesalahan kepada Bersatu atau Pas semata-mata tanpa menilai peranan setiap pihak. Namun, pemimpin kedua-dua parti tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik terhadap kegagalan menguruskan perbezaan dan mempertahankan kerjasama yang mereka sendiri bina.

Pembatalan pendaftaran oleh RoS mungkin bukan penamat mutlak jika usaha pemulihan dapat dilakukan mengikut undang-undang. Namun, menghidupkan semula pendaftaran jauh lebih mudah berbanding menghidupkan semula kepercayaan.

Jika Pas dan Bersatu memilih untuk membuka jajaran masing-masing, biarlah mereka berterus terang tentang sebabnya. Jangan bercakap soal penyatuan pada siang hari tetapi pada malamnya sibuk mengira keuntungan sendiri.

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia