KLANG: Sebanyak 30 premis dipercayai menggajikan atau dikendalikan oleh warga asing secara haram dekat Meru, di sini diserbu dengan sejumlah 37 individu dari pelbagai negara ditahan dan diperiksa oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, hari ini.
Antara premis yang diserbu termasuklah kedai jual pelbagai jenis barangan, telefon bimbit, runcit, gunting rambut, cuci kereta, bengkel kenderaan, jualan perkakasan dan rokok elektronik (vape).
Kesemua premis tersebut diserbu menerusi Operasi (Op) Mahir yang dijalankan di tiga kawasan iaitu di pusat perniagaan Taman Dato Bandar di Jalan Haji Salleh; deretan kedai di Jalan Kassim dan Jalan Jelutong di Pekan Meru.
Pemangku Pengarah JIM Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, operasi yang bermula pada pukul 11 pagi tadi menyasarkan premis perniagaan selepas pihaknya membuat risikan di kawasan tersebut sejak kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, pihaknya turut menerima aduan daripada orang awam yang menyatakan kebimbangan terhadap kewujudan kedai-kedai yang dikendalikan oleh warga asing di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi tersebut, seramai 47 warga asing diperiksa, namun 37 daripadanya berusia 18 hingga 40 tahun ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.
“Kesemua yang ditahan itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas operasi yang turut disertai penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada pukul 4 petang.
Antara ditahan adalah seorang wanita warga Myanmar, dikenali sebagai Thin Aye, 30, yang bekerja sebagai penjaga kaunter di kedai jual vape di Pekan Meru.
Dia ditahan dipercayai kerana menyalahgunakan permit pekerjaan apabila maklumat dalam dokumen yang dikeluarkan kepadanya itu tidak sama dengan pekerjaannya sekarang.
“Memang saya tukar kerja kerana sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah syarikat lain. Namun saya alami masalah kesihatan kerana kerap muntah dan akhirnya terpaksa kerja sebagai penjaga kedai vape.
“Saya sudah lima tahun berada di negara ini, suami pun bekerja di sebuah kilang di Klang. Saya baru dua tahun berkahwin dan belum mempunyai anak,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, dalam operasi sama turut diserbu adalah sebuah pejabat yang terletak di bahagian belakang sebuah kedai jual pelbagai barangan apabila terdapat peti besi yang menyimpan sekurang-kurangnya 20 pasport dipercayai dari Bangladesh serta sijil lahir dan sijil nikah tempatan.
Bagaimanapun, ketika penggeledahan dibuat, majikan dan pemilik premis itu tiada ditempat kejadian.
Jelas, Mohamad Khusairi, JIM Selangor sedang mengesan majikan syarikat terbabit yang dipercayai warga Bangladesh serta pemilik-pemilik premis warga tempatan bagi membantu siasatan.
“JIM Selangor menasihatkan majikan supaya tidak menggajikan pekerja asing yang tidak mempunyai permit yang sah.
“Bagaimanapun, empat cawangan pejabat JIM iaitu di Pelabuhan Klang, Shah Alam, Kelana Jaya dan Kajang bagi urusan Program Repatriasi Migran (PRM). – UTUSAN











