Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, seorang daripada tiga menghidap tekanan darah tinggi dan seorang daripada enam menghidap diabetes. Ketiga-tiga masalah kesihatan ini meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
Dalam Belanjawan 2027, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan RM47.7 bilion. Namun, sebesar mana pun peruntukan yang disediakan, usaha meningkatkan kesihatan rakyat tidak akan mencukupi jika tindakan hanya diambil selepas mereka jatuh sakit.
Pada 26 Februari 2018, Selangor melancarkan Skim Rawatan Jantung dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN). Dalam tempoh enam bulan pertama, seramai 214 pesakit menerima bantuan dengan perbelanjaan kira-kira RM3.16 juta. Malah, ada pesakit yang menerima bantuan hampir RM300,000 seorang.
Selangor turut melaksanakan Program Selangor Saring sejak 2022 yang menawarkan saringan percuma bagi mengesan penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit buah pinggang. Langkah ini penting kerana pengesanan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan kos rawatan jangka panjang.
Saya melihat sendiri bagaimana isu kesihatan jantung dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejak 2018, wakil rakyat mengemukakan soalan mengenai manfaat kerjasama dengan IJN, jumlah penerima bantuan mengikut daerah, peruntukan yang digunakan serta keberkesanan skim dalam membantu rakyat mengesan risiko penyakit lebih awal.
Inilah antara fungsi penting Dewan, memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan secara bertanggungjawab dan setiap program dinilai berdasarkan manfaatnya kepada masyarakat.
Dalam menangani penyakit jantung, masa dan akses kepada rawatan amat penting. Klinik kesihatan menjadi barisan hadapan dalam usaha pencegahan kerana di sinilah tekanan darah diperiksa, paras kolesterol dan gula disaring serta ubat dibekalkan sebelum masalah kesihatan menjadi lebih serius.
Oleh itu, perbahasan di DUN dan Parlimen perlu memberikan perhatian lebih besar kepada peranan klinik kesihatan, termasuk kecukupan kemudahan, tenaga kesihatan dan akses rakyat kepada pemeriksaan berkala.
Kerajaan boleh membina klinik, menyediakan peralatan dan membiayai pembedahan. Namun, usaha menjaga kesihatan turut bermula dengan kesedaran individu. Setiap orang perlu menjalani saringan kesihatan secara berkala, sekurang-kurangnya setahun sekali.
Pada masa sama, badan perundangan seperti DUN dan Parlimen perlu memperkukuh dasar serta menggubal undang-undang yang menggalakkan pemakanan sihat. Antaranya termasuk memperluas akses kepada makanan rendah gula, garam dan lemak, mempertimbangkan cukai terhadap produk yang meningkatkan risiko penyakit serta memperketat kawalan penjualan tembakau dan penggunaan rokok elektronik atau vape. –UTUSAN
LAU WENG SAN
Speaker Dewan Negeri Selangor











