KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir anak muda khususnya golongan mahasiswa yang terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi sehingga menganggap kelantangan mencaci orang lain sebagai lambang keberanian.
Baginda bertitah, mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan, bukannya terikut-ikut dengan budaya sedemikian, sebaliknya perlu berani menyuarakan pandangan dan menegur secara berhemah tanpa mengabaikan batas kesopanan serta pertimbangan.
Tegas Al-Sultan Abdullah, kemajuan teknologi dan media sosial yang membuka ruang luas kepada pengetahuan turut membawa risiko fitnah, keruntuhan nilai dan kecelaruan pemikiran jika tidak dimanfaatkan dengan bijaksana.
“Beranilah menegur, tetapi beradab ketika berbicara; beranilah berbeza pandangan, tetapi jangan hilang pertimbangan,” titah baginda pada Majlis Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda, termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan yang melampaui batas.
Dalam aspek pendidikan, baginda mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai jalan pintas dalam pembelajaran sehingga menghakis keupayaan mereka untuk berfikir, mengkaji dan mencipta.
Titah baginda, matlamat menuntut ilmu tidak seharusnya terbatas kepada usaha mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya perlu membentuk insan berilmu, amanah, berintegriti serta memiliki kemuliaan akhlak.
Al-Sultan Abdullah pada masa sama mengakui mahasiswa berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, tekanan kesihatan mental dan persaingan mendapatkan pekerjaan.
“Justeru, universiti hendaklah menjadi tempat yang bukan sahaja menyuburkan ilmu, tetapi turut memelihara kebajikan, kesejahteraan serta masa depan mahasiswa. Dalam hubungan ini, saya turut memberikan perhatian serius terhadap keperluan kemudahan dan prasarana, khususnya pembangunan kolej kediaman serta kemudahan akademik yang lebih selesa dan kondusif,” titah baginda. – UTUSAN











