STESEN radio masih dianggap antara platform paling ampuh untuk mempromosikan lagu-lagu terkini yang semakin banyak diterbitkan dewasa ini.
Meskipun berdepan persaingan daripada platform digital, radio masih menjadi saluran pilihan kerana bersifat percuma dan sampai kepada semua jenis golongan umur.
Bagaimanapun, muncul penggiat muzik tanah air yang mendakwa sebahagian stesen radio hanya memilih karya-karya yang popular, yang mendapat sambutan di media sosial untuk diputarkan.
Pengurus kandungan Era, Azah Sahrin menolak dakwaan berkenaan. Katanya,
tiada konsep anak emas dalam pemilihan lagu. Semuanya bergantung kepada kesesuaian dan sambutan dalam kalangan pendengar.
“Untuk kami putarkan sebuah lagu memerlukan proses tertentu. Di Era, kami akan putarkan lagu-lagu yang menjadi pilihan pendengar.
“Setiap stesen radio ada sasaran pendengar masing-masing. Sebagai contoh, setiap stesen lebih cenderung memutarkan lagu yang mendapat sambutan pendengar masing-masing yang berperanan sebagai juri muzik.
“Mereka ini yang akan mengundi lagu-lagu tertentu untuk diputarkan, yang akan memberi maklum balas terhadap genre muzik tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Azah, bagi lagu baru, rangkaian stesen radio Era tidak menganaktirikan dengan memilih lagu yang popular untuk diputarkan. Namun katanya lagu tersebut perlu dinilai sebelum diperdengarkan.
“Contoh di stesen radio Era, kami ada slot khas di mana penyampai yang akan putarkan lagu-lagu baharu pada setiap hujung minggu dan di laman sesawang kami juga ada slot khas iaitu Lagu Baru Nak Up.
“Lagu baru itu tak perlu tular di media sosial pun untuk diputarkan. Cuma kena ikut proses yang ditetapkan.
“Jadi pemuzik atau pengkarya hanya perlu emelkan sahaja lagu baru mereka, kemudian kita akan nilai kesesuaian lirik lagu tersebut sebelum melepaskannya di radio. Ini bagi mengelakkan lirik-lirik sensitif didengari khalayak.
“Kemudian pada masa sama, ini semua bergantung kepada lagu itu disukai pendengar atau tidak. Sebab itu mungkin ada lagu popular tapi pendengar tak suka, jadi kami tak mainkan,” ujarnya.

MENDEPANI SAINGAN PLATFORM DIGITAL
Cabaran yang dihadapi setiap stesen radio adalah saingan platform digital seperti Apple Music, Spotify yang menawarkan lagu-lagu pilihan pendengar.
Kata Azah, disebabkan itu, stesen radio perlu kreatif dalam penyampaian, mengambil inisiatif bersiaran dari luar konti untuk menarik pendengar semasa mendengar stesen radio tersebut.
“Ini sebabnya kami menggalakkan penyampai kami bersiaran dari luar konti, cuba perkara -perkara baharu seperti bersiaran sambil mempersembahkan dikir barat di Menara 118 Kuantan, Pahang dan bersiaran sambil menaiki paramotor di pesisir pantai Kelantan melibatkan penyampai THR Gegar baru-baru ini.
“Ini adalah usaha kami untuk tampilkan kelainan dan insya-Allah di masa akan datang, pelbagai lagi aktiviti yang dilakukan membabitkan penyampai,” ujarnya.
Azah dalam masa yang sama percaya pendengar masih mahukan interaksi penyampai dalam penyampaian radio berbanding sekadar mendengar lagu di platform digital.
“Pastinya pendengar, selain mendengar lagu, mahukan berita dan interaksi penyampai terutamanya ketika memandu kereta berjam-jam lamanya.
“Mereka mahukan perbincangan topik-topik semasa, pertukaran idea dan informasi dan pelbagai lagi cara selain mendengar lagu sepanjang masa.
“Jadi kalau dikatakan platform digital mengambil alih stesen radio, saya tidak bersetuju kerana pendengar kita masih memerlukan sentuhan manusia dalam penyampai radio,” kongsinya.











