PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menziarahi keluarga Allahyarham Asiah Ahmad Syahir yang maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, kunjungan ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pagi tadi amat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi sebagai seorang datuk yang mempunyai cucu seusia Allahyarham
“Sebagai seorang datuk yang juga mempunyai cucu-cucu seusia Allahyarhamah, hati saya benar-benar tersentuh melihat kehilangan seorang anak kecil yang sepatutnya masih panjang perjalanan hidupnya.
“Sukar untuk membayangkan betapa dalamnya rasa kehilangan buat ibu bapa dan seluruh keluarga apabila insan kecil yang menjadi penyeri rumah tiba-tiba tiada lagi di sisi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 10 Oktober lalu, Asiah dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, seminggu selepas dibenarkan keluar dari hospital akibat terjatuh di tandas.
Pada 16 Oktober lalu, seorang pemandu kereta elektrik (EV) jenis BYD Seal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat ketika berada di jalan raya membawa tanggungjawab besar kerana kecuaian boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kehidupan orang lain.
“Setiap keputusan yang kita buat di jalan raya membawa tanggungjawab, kerana satu kecuaian boleh meninggalkan kesan yang sangat panjang kepada kehidupan orang lain dan keluarga mereka.
“Mudah-mudahan segala kenangan bersama Allahyarhamah menjadi pengubat rindu dan sumber kekuatan untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN











