PETALING JAYA: Pelakon, Tracie Sinidol meluahkan rasa kecewa apabila namanya terus dikaitkan dengan pelbagai khabar angin dan perkara yang didakwa langsung tiada kaitan dengan dirinya.
Menurut Tracie, dirinya sudah muak berdiam diri apabila setiap kali berbuat demikian pelbagai andaian serta spekulasi yang tidak berkaitan timbul sehingga menguji had kesabarannya.
“Selama ini saya memilih untuk berdiam diri setiap kali timbul khabar angin kerana percaya bukan semua perkara perlu diberikan respons.
“Namun, apabila perkara sama terus berulang dan nama saya masih dikaitkan dengan situasi yang langsung tiada kena-mengena dengan saya, sampai satu tahap, saya rasa sudah cukup.
“Saya sudah berusaha keras untuk menjaga ketenangan diri dan menjauhkan diri daripada drama yang tidak perlu. Jadi, sejujurnya saya kecewa apabila dihakimi atas perkara yang langsung tiada kaitan dengan saya,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Pun begitu, pelakon drama Hilang Dalam Rindu itu tidak memaklumkan secara terperinci perkongsian tersebut ditujukan kepada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Tracie turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai khabar angin atau membuat andaian tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Bukan semua yang anda dengar itu benar dan bukan setiap cerita yang sampai kepada anda menggambarkan keseluruhan keadaan.
“Sebelum membuat sebarang andaian atau menghakimi seseorang, ingatlah bahawa kata-kata anda mungkin memberi kesan yang lebih besar daripada apa yang disangkakan.
“Sikap berdiam diri saya selama ini tidak pernah bermaksud saya bersalah dan saya tidak sepatutnya perlu terus-menerus menjelaskan diri atas perkara yang tidak pernah saya lakukan,” tegasnya.
Tracie bagaimanapun turut memohon agar orang ramai berhenti mencetuskan sebarang spekulasi yang mampi mencemarkan nama baiknya.
“Ini merupakan kali pertama dan terakhir saya memberikan penjelasan mengenai perkara ini. Saya tahu siapa diri saya dan saya tenang dengan hakikat tersebut.
“Apa yang saya minta hanyalah supaya orang ramai berhenti mengaitkan nama saya dengan perkara yang langsung tidak melibatkan diri saya.
“Anda tidak semestinya perlu mengetahui kisah hidup seseorang, tetapi sekurang-kurangnya milikilah rasa hormat dan adab untuk tidak mereka-reka cerita mengenai dirinya,” ujarnya.











