PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat menerusi satu pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul berkata, dalam hal ini, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan untuk dilaksanakan dengan serta- merta.
“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan ini bolehlah dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri yang merupakan agensi penyelaras bagi perkara ini.
“Kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan ini dipatuhi secara menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing adalah amat dihargai,” katanya. – UTUSAN











