KUALA LUMPUR: Seramai 10,134 pegawai perkhidmatan awam berstatus kontrak masih menunggu pelantikan tetap dengan proses berkenaan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 2031.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, seramai 11,946 pegawai kerajaan kontrak telah dilantik tetap setakat ini, manakala baki yang belum melalui proses berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat.
Beliau berkata, kerajaan bersetuju memberikan kelulusan khas untuk melantik tetap pegawai yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 15 tahun mulai 1 Julai 2016, tertakluk kepada ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM).
Tambah beliau, kemudahan itu terpakai kepada pegawai berstatus warganegara yang dilantik secara kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015.
“Sebahagian besar pegawai lantikan berkenaan telah mula dilantik tetap secara berperingkat sejak tahun 2016.
“Jumlah pegawai CoS yang telah dilantik tetap adalah seramai 11,946 orang manakala baki pegawai yang masih belum dilantik dianggarkan seramai 10,134 orang. Proses pelantikan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan selesai sepenuhnya pada tahun 2031,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta kerajaan menyatakan langkah konkrit Kerajaan bagi menyerap penjawat awam berstatus kontrak kepada berstatus tetap dalam masa terdekat ini.
Mustapha berkata, pelantikan pegawai kontrak kepada jawatan tetap tidak boleh dilakukan secara automatik hanya berdasarkan tempoh perkhidmatan kerana setiap pelantikan perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, kelayakan pengambilan dan merit yang ditetapkan pihak berkuasa melantik.
Beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012].
“Sehubungan dengan itu, pegawai yang sedang berkhidmat secara kontrak tidak boleh
diserap secara automatik ke jawatan tetap hanya berdasarkan tempoh perkhidmatan kontrak sahaja,”katanya.
Dalam pada itu, Mustapha menjelaskan pelaksanaan lantikan kontrak interim bagi pegawai perkhidmatan awam am Persekutuan merupakan langkah sementara sebelum kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa.
Menurutnya, pegawai yang dilantik menerusi kaedah kontrak interim akan dilantik tetap tanpa perlu melalui proses pengambilan semula, tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan.
“Keputusan Kerajaan dalam melaksanakan pengambilan tetap pegawai perkhidmatan awam am Persekutuan secara Lantikan Kontrak (interim) adalah bersifat sementara.
“Semua pegawai yang dilantik menerusi kaedah Lantikan Kontrak (interim) ini akan dilantik secara tetap setelah kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa, tanpa perlu melalui proses pengambilan semula tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan,” katanya. –UTUSAN











