PETALING JAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan dalaman berhubung kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan dua anggota Cawangan Khas.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, siasatan itu dijalankan secara selari oleh pihaknya bagi meneliti kes berkenaan.
“Kita ada buat siasatan dalaman di bawah JIPS secara selari. Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, bulan lalu.
Mohd. Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, di sini, hari ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd. Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lalu.
Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd. Shuhaily diwakili oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.- UTUSAN











