SEPANG: Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di KLIA pada 28 September lalu.
Mohd Shuhaily yang juga Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Mohd Shuhaily, 54, didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman, di antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA pada 28 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Shuhaily turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi dan masa yang sama.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Khairatul Animah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,500 dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Khairatul Animah turut menetapkan 25 November depan bagi tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan kes itu dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Manakala Mohd Shuhaily pula diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Terdahulu, Shahrizat mahu Mohd Shuhaily dikenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta tidak menganggu mangsa.
Manakala, Kitson Foong dalam rayuan meminta anak guamnya diberikan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
Khairatul Animah turut mengarahkan Mohd Shuhaily untuk hadir ke setiap perbicaraan kes berkenaan. – UTUSAN











