Kemahiran TVET buka laluan graduan jadi usahawan Bumiputera

Kemahiran TVET buka laluan graduan jadi usahawan Bumiputera

KEMAHIRAN TVET bukan sekadar tiket untuk memasuki pasaran pekerjaan, malah mampu menjadi modal pertama generasi muda membina perniagaan sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemahiran teknikal yang dipelajari di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar tiket untuk memasuki pasaran pekerjaan, malah mampu menjadi modal pertama generasi muda membina perniagaan sendiri.

Pendekatan itu membuka peluang kepada graduan untuk beralih daripada pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan dengan memanfaatkan kepakaran teknikal bagi menawarkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pasaran.

Usaha berkenaan turut diberi perhatian menerusi inisiatif KBNet TVETMara yang menggabungkan kemahiran teknikal dengan pengetahuan perniagaan bagi melahirkan lebih ramai teknousahawan Bumiputera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program itu dilaporkan berjaya melahirkan 192 usahawan Bumiputera dalam tempoh kira-kira sedekad, sekali gus memperlihatkan potensi pendidikan berasaskan kemahiran dalam memperluas penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan.

Potensi tersebut turut terserlah menerusi pencapaian pelajar TVETMara Masjid Tanah, Mohammad Hanafi Izuddin Ismail, yang menerima Anugerah Pelajar Usahawan Digital Berprestasi Tinggi 2025 pada 30 Januari lalu.

Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif bagi sesi Julai hingga Disember 2025 itu menerima pengiktirafan berkenaan pada Malam Jalinan dan Penghargaan Impak eUsahawan 2026 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di DoubleTree by Hilton, Putrajaya.

Graduan TVETMara berpeluang menjadi pencipta peluang pekerjaan menerusi kepakaran teknikal dalam menghasilkan produk dan menawarkan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pasaran.

Pencapaian itu mencerminkan penglibatan pelajar bidang teknikal dalam keusahawanan digital, selaras dengan teras keusahawanan di bawah objektif RISE Mara, sekali gus menunjukkan bahawa peluang yang tersedia kepada pelajar TVET tidak terhad kepada pekerjaan dalam bidang pengajian semata-mata.

Selain keusahawanan, TVETMara turut memperkukuh kemahiran teknikal pelajar menerusi pendedahan secara langsung kepada industri bagi memastikan latihan yang diterima selari dengan keperluan pasaran.

Antaranya, seramai 11 peserta mengikuti kursus jangka pendek Pengacuan Saintifik (Pembangunan Proses) selama empat hari bermula 5 hingga 8 Februari lalu di Jai Hee Polymer Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, sebuah syarikat pembuatan acuan suntikan berketepatan tinggi yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun.

Kursus itu memberi peluang kepada peserta mendalami proses pengacuan suntikan plastik serta memahami piawaian kualiti industri dalam menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pasaran global.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Majlis Peluncuran Penjenamaan TVETMara pada Januari lalu.

Pendedahan kepada industri turut dilaksanakan menerusi lawatan pemantauan Program Diploma Industri Pengeluaran Seramik Kohort 3 di Times Ceramica Sdn. Bhd., Pasir Gudang, Johor, pada 10 Februari lalu bagi menilai perkembangan, prestasi dan disiplin pelajar sepanjang menjalani latihan industri.

Dalam bidang automotif pula, seramai 40 pelajar TVETMara Masjid Tanah menyertai program Student Safety Driving Experience di Hino Total Support Customer Centre, Sendayan, bagi mendalami teknologi kenderaan berat, aspek keselamatan dan pemanduan profesional menerusi pengalaman praktikal.

Pendedahan seumpama itu berpotensi membantu pelajar memahami keperluan sebenar industri, sekali gus memperkukuh asas kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk membina kerjaya atau meneroka peluang perniagaan selepas tamat pengajian.

Bidang seperti automotif, elektrik, teknologi, fabrikasi dan pembuatan menawarkan ruang kepada graduan untuk mengembangkan kepakaran masing-masing menjadi produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai pasaran, bergantung pada kemahiran serta permintaan pelanggan.

Bagaimanapun, penguasaan kemahiran sahaja tidak semestinya menjamin kelangsungan sesebuah perniagaan, sebaliknya perlu disokong pengetahuan pengurusan, pemasaran, kewangan dan keupayaan mengenal pasti peluang pasaran.

Bagi anak muda di kawasan luar bandar, perniagaan berasaskan kemahiran membuka peluang menjana pendapatan tanpa semestinya berhijrah ke bandar besar untuk mendapatkan pekerjaan, selain membolehkan mereka memenuhi keperluan penduduk setempat.

Sekiranya berkembang, perniagaan berkenaan berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, menggunakan khidmat pembekal tempatan dan merancakkan aktiviti ekonomi komuniti, sekali gus memberikan manfaat yang melangkaui pendapatan pengusaha sendiri.

Perkembangan itu selari dengan aspirasi Ekonomi Desa Nasional (EDN) yang memberi penekanan kepada usaha memperkasa masyarakat desa, mewujudkan peluang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup melalui pembangunan desa secara tersusun.

Dalam hal ini, pembangunan teknousahawan berpotensi menjadi antara pendekatan untuk mengangkat desa sebagai pusat nilai ekonomi baharu apabila penduduk setempat mempunyai kemahiran dan peluang untuk membangunkan perniagaan sendiri.

Justeru, usaha memperkukuh latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, akses pembiayaan dan pasaran penting bagi memastikan lebih ramai anak muda mampu mengembangkan kemahiran teknikal menjadi sumber pendapatan yang mampan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Bumiputera dan pembangunan komuniti desa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini