KUALA LUMPUR : Penyanyi, Kaka Azraff mengakui semakin menikmati kehidupannya sebagai ibu kepada tiga anak lelaki, meskipun perlu menguruskan mereka sendiri tanpa bantuan pembantu.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata, rutin hariannya yang banyak dihabiskan bersama anak-anak sememangnya meletihkan, namun pengalaman itu memberikan kebahagiaan tersendiri.
Menurutnya, perubahan paling ketara dirasai apabila dia kini mampu menikmati setiap detik bersama anak-anak dengan hati yang lebih tenang berbanding dahulu.
“Kebelakangan ini, saya semakin menyedari betapa bahagianya saya menjadi ibu kepada anak-anak lelaki saya. Kebanyakan hari, hanya saya dan tiga orang anak lelaki saya. Tanpa pembantu, tanpa bantuan tambahan. Memang penat, tetapi entah bagaimana, hati saya terasa begitu penuh setiap kali bersama mereka.
“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah betapa berbezanya perasaan saya sekarang. Dahulu, ada begitu banyak rasa terkilan dan kecewa dalam hati saya. Saya melakukan semua perkara ini, tetapi jauh di sudut hati, saya tidak selalu berasa bahagia,” katanya di Threads.
Tambah Kaka, meskipun tanggungjawab membesarkan anak-anak tidak pernah terlepas daripada kepenatan, dia kini benar-benar menikmati perjalanan sebagai seorang ibu.
Malah, perkara sederhana seperti membawa anak-anak keluar berjalan-jalan, melihat mereka gembira dan meluangkan masa melakukan aktiviti bersama-sama menjadi antara momen yang cukup bermakna buat dirinya.
“Sekarang, walaupun penat, saya benar-benar menikmatinya. Membawa mereka keluar berjalan-jalan, melihat mereka gembira dan melakukan perkara-perkara kecil bersama-sama. Saya dapat menikmati pengalaman menjadi seorang ibu dengan hati yang jauh lebih tenang.
“Saya tidak mengatakan bahawa hidup saya kini mudah. Tetapi saya bahagia dan bersyukur kerana dapat merasai kebahagiaan seperti ini bersama anak-anak lelaki saya. Mungkin, beginilah rasanya apabila hati akhirnya menemukan ketenangan,” katanya.
Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 14 Disember 2018. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak lelaki, iaitu Aslan, Aryan dan Atta Adam.
Aslan kini berusia tujuh tahun, manakala Aryan berusia lima tahun dan Atta Adam berusia dua tahun.
Kaka dan Adam pernah bercerai pada Oktober 2024 sebelum kembali rujuk pada awal 2025. Bagaimanapun, pasangan itu sekali lagi berpisah pada Jun 2026.











