KUALA LUMPUR: Pelakon, Izara Aishah, 34, menasihatkan pengikut di media sosialnya supaya menghentikan pergaduhan dengan netizen Indonesia gara-gara salah faham membabitkan sahabat penyanyi Indonesia Lesti Kejora, yang berlaku semasa konsert Gema Bumantara baru-baru ini.
Izara memaklumkan dia sudah memohon maaf dan berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik.
“Orang Malaysiaku, pengikutku minta tolong Jangan hina pasukan Lesti kerana yang salahnya saya sebab bersikap emosi, tak profesional di media sosial ini.
“Jangan sampai mencaci. Kalau boleh minta maaf tak kiralah kalau kita betul pun Insya-Allah akan memberi ganjaran yang besar kalau kita minta maaf,” katanya dalam Thread.
Izara dalam masa yang sama memaklumkan orang Malaysia tidak biadab sehingga menghina dan mencaci maki rupa orang lain di media sosial.
Dia sekali lagi memohon agar perkara itu tidak dipanjangkan oleh pengikut media sosialnya.
“Kalau dah sampai menghina rupa, keluarga dan sebagainya itu bukan kita. Tolong saya mohon berhenti. Semua silap saya, saya mengaku sepenuhnya,” katanya lagi.
Terdahulu Izara meluahkan rasa kesal dengan layanan yang diterimanya daripada pasukan Lesti yang dianggap sombong dan kurang mesra.
Namun, Pelakon tersebut sempat memohon maaf kepada Lesti dan suaminya Rizky Billar atas salah faham yang berlaku.- UTUSAN











