32 syarikat dihukum akibat kebakaran hutan - Utusan Malaysia

32 syarikat dihukum akibat kebakaran hutan

AKTIVIS Greenpeace Indonesia yang bergayut pada Patung Selamat Datang di Bulatan Hotel Indonesia memegang sepanduk membantah jerebu di Jakarta semalam. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Perhutanan Indonesia mengenakan tindakan pentadbiran terhadap 32 syarikat berhubung kebakaran hutan dan tanah yang memusnahkan kawasan seluas 12,926.74 hektar di tujuh wilayah, termasuk Kalimantan Barat.

Tindakan itu merangkumi penggantungan permit, kewajipan memulihkan ekosistem dan pembatalan permit, selain beberapa siasatan jenayah berasi­ngan yang menyasarkan syarikat serta individu.

“Daripada 32 syarikat itu, permit 19 daripadanya digantung dan mereka diwajibkan memulihkan ekosistem hutan di kawasan tanah terbakar seluas 9,546.42 hektar,” kata Ketua Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Perhutanan kementerian itu, Dwi Januanto Nugroho dalam kenya­taan pada Isnin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lapan lagi entiti diwajibkan melaksanakan pemulihan ekosistem meliputi kawasan terbakar seluas 2,211.19 hektar, manakala permit lima entiti selebihnya dibatalkan,” tambah Dwi.

Sementara itu, di Kalimantan Barat, sembilan syarikat dikenakan tindakan, iaitu PT MRU, PT WE, PT HKI, PT MPM, PT MPK, PT DAS, PT WSP, PT FI dan PT WLJ.

Syarikat lain yang dikenakan tindakan masing-masing terdiri daripada dua di Jambi, lima di Sumatera Selatan, lima di Kalimantan Selatan, tujuh di Kalimantan Tengah, tiga di Kalimantan Timur dan satu di Kalimantan Utara.

Selain tindakan pentadbiran, kementerian itu turut menangani kesalahan jenayah disyaki berkaitan kebakaran hutan dan tanah, melibatkan 125 entiti yang terdiri daripada individu serta syarikat.

Daripada jumlah itu, 44 kes masih dalam peringkat penyiasatan awal, manakala 79 lagi berada pada peringkat penyiasatan rasmi.

Bagi kes yang sedang disiasat secara rasmi, seramai 12 individu dan sebuah syarikat telah dinamakan secara rasmi sebagai suspek. 

Selain itu, dua entiti perundangan korporat telah mencapai peringkat P-22, iaitu proses penye­rahan rasmi suspek dan bahan bukti kepada pendakwa raya.

Sementara itu, aktivis pertubuhan Greenpeace Indonesia ber­gayut pada Patung Selamat Datang di Bulatan Hotel Indonesia memegang sepanduk bantahan di Jakarta semalam.

Demonstrasi sempena ulang tahun kedua pelantikan Presiden Prabowo Subianto itu mendesak kerajaan menangani krisis iklim yang semakin buruk dan  peningkatan kos sara hidup. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini