Pembatalan pendaftaran PN boleh rujuk Menteri Dalam Negeri - Utusan Malaysia

Pembatalan pendaftaran PN boleh rujuk Menteri Dalam Negeri

Azalina Othman Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan masih terlalu awal untuk mengulas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Beliau berkata, sebarang isu berkaitan status pembatalan pendaftaran PN berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri dan RoS.

Malah katanya, pihak berkenaan perlu diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa biarlah mereka sebab sekarang ini mereka nak buat rayuan, kan. Saya taknak respon, dalam bahasa Inggeris disebut ‘premature’,” katanya selepas Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendaftaran PN dibatalkan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Keputusan itu dibuat selepas jabatan berkenaan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN sebagai maklum balas terhadap notis bertarikh 22 September lalu.

Menurut RoS, notis yang dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) akta sama memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dinyatakan dalam notis tersebut.

Jabatan itu menerima maklum balas PN pada 12 Oktober lalu sebelum meneliti dokumen serta penjelasan yang diberikan.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan dikemukakan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis berkenaan.

Penjelasan tersebut juga didapati tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran PN, sekali gus membawa kepada keputusan pembatalan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini