Krisis PN ujian kematangan politik - Utusan Malaysia

Krisis PN ujian kematangan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), semalam, menambah lagi kemelut antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Krisis ini bukan sekadar soal pendaftaran, tetapi turut menguji kemampuan pemimpin gabungan itu menyelesaikan masalah dalaman tanpa menjejaskan keseluruhan organisasi.

RoS menjelaskan keputusan itu dibuat selepas penjelasan dan dokumen yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu gagal menjawab alasan pembatalan dalam notis bertarikh 22 September. PN pula mahu mencabar keputusan berkenaan melalui saluran undang-undang. Oleh itu, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses berkenaan untuk berjalan dan menghormati keputusan yang dibuat.

Namun, persoalan lebih besar ialah bagaimana PN mengurus perbezaan dalam kalangan parti komponennya. Jika masalah dalaman tidak dapat diselesaikan dengan baik, bagaimana gabungan itu mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mengurus negara?

PN ditubuhkan pada 2020 dengan matlamat menyatukan beberapa parti di bawah satu gabungan. Kerjasama politik seperti ini tidak boleh hanya bertahan ketika pilihan raya atau apabila kepentingan masing-masing sehaluan. Kepercayaan, komunikasi dan tanggungjawab bersama perlu menjadi asas supaya perbezaan pendapat tidak berlarutan menjadi pertelingkahan.

Krisis ini juga berlaku ketika persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir. Isu penggunaan nama dan logo PN serta kedudukan calon parti komponen perlu diperjelaskan segera.

Jika dibiarkan berlarutan, keadaan itu boleh menyu­karkan persiapan pilihan raya dan mengelirukan pengundi.

Pada PRN Melaka 2021, PN memperoleh 77,731 undi, kira-kira 24.3 peratus daripada keseluruhan undi, selain memenangi dua daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Angka itu menunjukkan PN mempunyai sokongan pengundi yang perlu dihargai. Namun, sokongan lalu bukan jaminan pengundi akan terus memberikan kepercayaan yang sama.

Pengundi mahu tahu parti yang diwakili calon, selain apa yang boleh ditawarkan untuk menyelesaikan masalah mereka. Pertelingkahan politik tidak sepatutnya menyebabkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemudahan awam diketepikan.

Pemimpin PN perlu segera mencari jalan keluar, bukannya terus berbalas kenyataan. Hak setiap parti komponen perlu ditangani mengikut peraturan dipersetujui dengan persoalan undang-undang diselesaikan melalui saluran sewajarnya.

PRN Melaka bakal menjadi medan, melihat bagaimana PN menangani krisis ini sebab pada peringkat akhirnya, rakyat bukan hanya mahu mendengar janji, sebaliknya melihat pemimpin yang boleh bekerjasama, menyelesaikan masalah dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. – UTUSAN

Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia