PETALING JAYA: Satu pasukan khas yang diketuai Peguam Negara akan ditubuhkan bagi menyelaras siasatan melibatkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan kegiatan mafia korporat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sama sekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan itu.
Katanya, satu laporan komprehensif mesti disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan didedahkan kepada umum agar orang ramai tidak menganggap perkara itu tidak telus atau percaya ada pihak tertentu yang dilindungi.
“Saya telah meminta Peguam Negara mengetuai satu pasukan khas yang melibatkan semua agensi penguatkuasaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Ini bukan sekadar laporan untuk penjawat awam tetapi untuk kerajaan. Oleh itu, saya telah meminta ia didedahkan kepada umum.
“Sekiranya ada bukti, dedahkan, tidak kira siapa yang terlibat. Antara nama yang disebut sebelum ini ialah Tan Sri Azam Baki, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dan Victor Chin,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Anwar menjawab soalan tambahan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam dakwaan kegiatan mafia korporat.
Dalam perkembangan sama, AMLA Bukit Aman membekukan aset bernilai RM4.3 bilion dari 2022 hingga September lalu melibatkan kes mafia korporat.
Perdana Menteri berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM1 bilion aset disita manakala RM48.3 juta dilucut hak.
“Selain itu, kompaun berjumlah RM1.1 bilion turut dikenakan kepada pihak yang terlibat.
“Usaha menangani jenayah kewangan dan salah laku korporat memerlukan komitmen yang jelas serta ketegasan semua pihak, khususnya agensi penguat kuasa yang diberikan amanah untuk melaksanakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkenaan perkembangan siasatan kegiatan mafia korporat di negara ini.
Anwar berkata, isu tatakelola korporat dan ketelusan pemilikan syarikat besar yang berlarutan sejak era 1980-an perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak menggunakan pengaruh atau kekuatan kewangan untuk mengatasi undang-undang.
Beliau memberikan contoh beberapa kes termasuk Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB), RHB Bank dan Phileo Bank, yang menurutnya menimbulkan pelbagai persoalan berhubung pemilikan, pengaruh serta tindakan yang diambil ketika itu.
“Perkara itu dikaitkan dengan pengaruh dan kekuatan kewangan pihak tertentu, termasuk dakwaan penglibatan bekas Menteri Kewangan ketika itu,” katanya.
Anwar turut membangkitkan isu berkaitan RHB Bank yang terpaksa melepaskan pegangan, selain persoalan mengenai pihak yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan atau menghentikan siasatan kes penyelewengan membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, proses berkenaan mengambil masa, bagi memastikan kertas siasatan lengkap sebelum tindakan pendakwaan diambil. – UTUSAN










