SUNGAI PETANI: Seorang remaja berusia 14 tahun terpaksa mengorbankan waktu persekolahannya demi menjaga ibunya yang terlantar akibat patah tulang tumit dalam kemalangan jalan raya, selain menguruskan adik bongsunya yang masih kecil.
Muhammad Elias Bahari Maskeri sudah hampir tiga bulan ponteng sekolah bagi menguruskan keperluan harian ibunya, Siti Hajar Abdullah, 43, dan menjaga adiknya yang berusia setahun lima bulan di rumah sewa mereka di Kampung Bakar Kapor, di sini.
Anak kedua daripada empat beradik itu bukan sahaja memasak, membasuh dan mengemas rumah, malah membawa ibunya menggunakan kerusi roda mendapat rawatan susulan di klinik kesihatan dan hospital.
Menurut Muhammad Elias, dia terpaksa memikul tanggungjawab itu kerana abang dan seorang adiknya yang masing-masing berusia 16 dan sembilan tahun tinggal bersama nenek mereka di Langkawi selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2021.
“Dengan keadaan ibu yang langsung tidak boleh bergerak, susah untuk dia menjaga adik. Jadi, saya terpaksa tidak ke sekolah sepanjang tempoh ini.
“Saya sudah memaklumkan kepada guru dan mereka datang melihat keadaan ibu. Mereka juga memberikan kerja sekolah melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Siti Hajar mengalami kemalangan pada 4 Ogos lalu ketika dalam perjalanan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan lesen memandu apabila motosikalnya dilanggar dari belakang.
Bekas pekerja pembersihan di sebuah sekolah itu berkata, wang simpanannya habis digunakan untuk membiayai pengangkutan ke hospital dan klinik, makanan serta bil utiliti, menyebabkan motosikalnya masih belum dibaiki.
Lebih merumitkan keadaan, katanya, bekas suami hasil perkahwinan keduanya tidak memberikan nafkah atau menjenguk anak mereka sejak bercerai lebih setahun lalu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Hajar menerusi talian 017-8245285 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 07016020614126. – UTUSAN











