Cita-cita jadi PM antara punca ‘kehancuran’ PN

Cita-cita jadi PM antara punca ‘kehancuran’ PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cita-cita sesetengah pemimpin mengejar jawatan Perdana Menteri didakwa menjadi antara punca yang membawa kepada kehancuran Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pembatalan pendaftaran gabungan itu.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan itu mencerminkan kegagalan kepimpinan PN dalam menerajui gabungan berkenaan serta menjaga parti komponennya.

Katanya, sepanjang Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui PN, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku walaupun pelbagai masalah melanda gabungan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang berlaku hari ini satu kesedihan yang besar. Sejak ditubuhkan, PN merupakan satu jenama yang dibina hingga mula diterima masyarakat.

“Walaupun pelbagai perkara menghimpit PN terutamanya di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, namun tidak sampai terbatalnya pendaftaran.

“Sudah tentu saya merasa sedih, kecewa dan marah. Saya merasakan ia berlaku kerana ada pihak yang hendak ambil alih PN dan bercita-cita besar mahu jadi Perdana Menteri.

“Hal ini juga membuktikan kegagalan kepimpinan PN yang menerajui gabungan itu sebagai nakhoda perjuangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Ahmad Faizal, Bersatu mempunyai hak sebagai komponen untuk membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terutama selepas parti itu didakwa tidak dilibatkan dalam mesyuarat dan rundingan pengagihan kerusi.

Katanya, pelantikan Setiausaha Agung PN daripada Pas kira-kira lapan bulan lalu juga tidak berjaya mengendalikan gabungan berkenaan.

“Mereka menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan kita masih berpendirian, Tan Sri serahkan jawatan. Kita mahu bagi kepada Presiden Pas, tetapi mereka beri kepada Naib Presiden.

“Apabila tindakan RoS diambil, ini bukan tindakan kami, itu tindakan RoS. Kamu sendiri yang buat perkara ini,” katanya.

Ditanya sama ada Bersatu akan menghidupkan semula PN, Ahmad Faizal berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam kepimpinan Bersatu bagi menentukan langkah seterusnya.

Sementara itu, mengenai kedudukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang bertanding atas tiket PN, Ahmad Faizal berkata, mereka akan kembali kepada parti masing-masing susulan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.

“Balik kepada parti. Setiap wakil bertanding atas logo PN. Apabila gabungan ini terbatal, mereka kembali kepada Bersatu atau Pas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini