SEREMBAN: Kes penipuan e-dagang dan pinjaman tidak wujud di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 24 dan 11 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes penipuan e-dagang meningkat kepada 828 kes berbanding 667 kes tahun lalu, manakala kes pinjaman tidak wujud bertambah kepada 404 kes berbanding 365 kes dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan jenayah dalam talian di negeri ini menurun sebanyak 10 peratus kepada 2,539 kes berbanding 2,807 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah kerugian akibat jenayah berkenaan turut berkurangan sebanyak 46 peratus kepada RM39.86 juta berbanding RM73.44 juta tahun lalu dipengaruhi pelaksanaan program kesedaran, penguatkuasaan serta kerjasama strategik.
“Namun, kerugian paling tinggi direkodkan pada tahun ini melibatkan kes penipuan telekomunikasi sebanyak RM18.92 juta diikuti, penipuan pelaburan 12.44 juta, dan e-dagang RM4 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Selain itu, Alzafny berkata, kes penipuan telekomunikasi mengalami penurunan sebanyak 28 peratus kepada 784 kes berbanding 1,095 kes tahun lalu.
“Kes penipuan kewangan elektronik turut menurun 30 peratus kepada 188 kes, manakala kes love scam berkurangan tiga peratus kepada 37 kes dan penipuan pelaburan menurun 20 peratus kepada 298 kes,” katanya.
“Walaupun jumlah keseluruhan kes dan kerugian menunjukkan penurunan, orang ramai perlu terus berwaspada, khususnya ketika melakukan urusan pembelian dalam talian dan menerima tawaran pinjaman,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, tempoh reman 38 suspek warga asing yang ditahan pada 12 Oktober lalu di sebuah pusat peranginan terbiar di Mantin, Nilai, bagi membantu siasatan kes sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai menyasarkan warga China dilanjutkan sehingga 1 November ini.
“Reman diteruskan di bawah Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat kesahihan pasport suspek memandangkan terdapat pasport yang mencurigakan dan ada antara mereka tidak memiliki pasport,” katanya. – UTUSAN











