PEKAN: Bakat atlet negara selepas ini berpotensi dikenal pasti lebih awal menerusi pendekatan saintifik dan analisis data di sekolah, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai murid untuk dibimbing mengikut kesesuaian serta keupayaan masing-masing.
Inisiatif menerusi Program Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat Sukan (MyTID) kendalian Institut Sukan Negara (ISN) itu menjadikan Pahang sebagai negeri perintis sebelum model pelaksanaannya dinilai dan diperhalusi untuk diperluas ke negeri-negeri lain.
Usaha berkenaan diperkukuh menerusi latihan kepada 66 guru yang bakal berperanan sebagai tenaga penguji bagi mengenal pasti potensi sukan murid melalui kaedah pengukuran dan ujian yang lebih sistematik.
Majlis perasmian program Training of Trainers (ToT) MyTID di Hotel Ancasa Royale di sini hari ini diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Seri Dr. Zulkharnain Ismail berkata, kecemerlangan sukan tidak hanya bermula apabila seseorang atlet menyertai pertandingan, sebaliknya perlu dibina melalui usaha mengenal pasti dan membangunkan potensi sejak peringkat awal.
Menurutnya, pendekatan berasaskan sains sukan merupakan pelaburan strategik untuk membentuk asas pembangunan atlet yang lebih terancang, inklusif dan mampan.
“Melalui MyTID, kita mahu memastikan usaha pengenalpastian bakat tidak bergantung semata-mata pada pemerhatian atau kebetulan, tetapi diperkukuh melalui kaedah saintifik, kepakaran dan data yang dapat menyokong perancangan pembangunan atlet,” katanya.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober itu merangkumi latihan teori dan amali berkaitan prosedur pengukuran, pelaksanaan bateri ujian MyTID, penggunaan peralatan serta teknik pengumpulan data dan kawalan kualiti.
Peserta turut didedahkan kepada penilaian kecenderungan dan minat murid terhadap sukan menggunakan instrumen yang diadaptasi daripada SportKompas.
Zulkharnain berkata, guru mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan kerana mereka merupakan antara individu paling hampir dengan murid dan berpeluang mengenal pasti potensi yang mungkin belum disedari.
Beliau berkata, data yang dikumpulkan bukan sekadar rekod pengukuran, malah boleh menjadi asas untuk membantu murid mengenali keupayaan diri, memilih sukan yang bersesuaian dan menerima bimbingan bagi mengembangkan bakat ke tahap lebih tinggi.
Pemilihan Pahang sebagai tapak perintis mengambil kira kerjasama sedia terjalin antara ISN, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan pihak sekolah dalam pelbagai inisiatif pembangunan bakat sukan.
Melalui projek rintis itu, ISN berharap dapat membangunkan pangkalan data bakat sukan yang lebih tersusun bagi menyokong perancangan pembangunan atlet berdasarkan maklumat objektif, sebelum pendekatan berkenaan diperluas ke peringkat lebih besar. – UTUSAN











