Kejatuhan PN akibat percaturan politik sendiri - Utusan Malaysia

Kejatuhan PN akibat percaturan politik sendiri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) didakwa mula tercetus akibat persaingan kuasa dan isu tadbir urus dalaman gabungan itu sendiri.

​Timbalan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Jasri Jamaludin berkata, tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN susulan isu tadbir urus dalaman termasuk gagal melibatkan Bersatu dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 16 Julai, merupakan tamparan hebat kepada gabungan itu.

“Perkembangan terbaharu membabitkan PN menimbulkan persoalan besar, adakah Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pas, dalam keghairahan merebut kuasa dan pengaruh, akhirnya menyumbang kepada kehancuran gabungan yang mereka sendiri mahu kuasai?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi gabungan yang bercita-cita mentadbir negara, ini merupakan kegagalan politik yang memalukan. Perebutan kuasa, persaingan antara kem dan pertikaian kepimpinan mendedahkan betapa rapuhnya perpaduan mereka.

“Sama ada perkembangan ini disengajakan atau tidak, hakikatnya percaturan politik mereka kini mengancam kelangsungan PN sendiri. Pemimpin gabungan itu terpaksa mempertimbangkan tindakan undang-undang sambil berdepan kerosakan yang berlaku dalam barisan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jasri dalam pada itu mempersoalkan apa lagi boleh dilakukan pimpinan gabungan tersebut sama ada terus menuding jari, meneruskan perebutan kuasa ataupun mengakui kesilapan yang membawa mereka ke tahap tersebut.

“Sebuah gabungan tidak boleh bercita-cita mentadbir negara jika mereka sendiri gagal mempertahankan kesatuan.

“Jika Hamzah, Pas dan pemimpin PN yang lain tidak mampu menyelesaikan persengketaan serta memulihkan keyakinan terhadap gabungan itu, mereka mungkin akhirnya menyedari bahawa percaturan untuk menguasai kuasa telah memusnahkan platform politik yang menjadi sandaran cita-cita mereka sendiri,” katanya.

RoS hari ini membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Jabatan itu memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas PN pada 12 Oktober lalu setelah pihaknya mengeluarkan notis pada 22 September lepas.

Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, katanya, Pendaftar Pertubuhan mendapati bahawa alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini