10,920 liter diesel disita KPDN Kedah

10,920 liter diesel disita KPDN Kedah

MUHAMMAD Nizam Jamaludin (kiri) melihat sebuah lori tangki yang disyaki terlibat penyelewengan minyak diesel di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Tunjang di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 10,920 liter minyak diesel bernilai RM52,197 serta sebuah lori tangki dengan jumlah keseluruhan RM102,197 disyaki terlibat penyelewengan. 

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, penyelewengan itu terbongkar selepas lori tangki berkenaan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 di Jalan Sematang Pinang, Kuala Kedah.

“Pemeriksaan mendapati lori tangki itu membawa sejumlah diesel bersama satu invois yang meragukan. Pemeriksaan lanjut mendapati minyak diesel yang dibawa adalah daripada pemborong yang tiada lesen sah untuk berurus niaga barang kawalan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pemandu lori tangki berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tiga hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, KPDN tidak menolak kemungkinan diesel terbabit melibatkan penyelewengan  pemilik bot nelayan kelas C yang memerlukan pihak terlibat mempunyai lesen berkaitan.

“Namun, kami masih menyiasat lanjut untuk mengenal pasti modus operandi kegiatan ini selain mengesyaki ia berkaitan dengan satu lagi kes rampasan diesel minggu lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini