KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Januari depan bagi pendengaran permohonan rayuan bagi sabitan dan hukuman kes rasuah berkait bekas Pengurus Kanan Teknikal di Lembaga Tabung Haji, 11 tahun lalu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas dipersetujui kedua-dua pihak pada sebutan kes itu hari ini.
Zaharuddin Hamid, 53, memfailkan rayuan itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob di akhir kes pembelaan yang dibuat pada 30 November 2023.
Pada tarikh tersebut, hakim menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda berjumlah RM852,385 selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkait rasuah. Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, hukuman tersebut ditangguhkan selepas mahkamah sama membenarkan permohonan bagi penangguhan itu sementara menunggu rayuan.
Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Seksyen Pembangunan Hartanah didakwa menerima tiga keping cek berjumlah RM170,477 daripada seorang pengarah sebuah syarikat juruperunding pembinaan, Yusaidi Mohd. di Maybank Desa Pandan, di sini, antara 5 Oktober 2015 dan 24 Mei 2018.
Cek yang didepositkan ke dalam akaun kakaknya adalah sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn. Bhd. dan Syarikat MNB Engineering Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.
Pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Sepanjang perbicaraan kes tersebut, pihak pendakwaan mengemukakan seramai 18 saksi manakala bagi pihak pembelaan, hanya tertuduh dipanggil untuk memberikan keterangan.
Dalam penghakiman bertarikh 30 November 2023, Hakim Rozina memutuskan bahawa keterangan Zaharuddin hanyalah rekaan dan penafian kosong tanpa sebarang bukti kukuh yang meragukan (improbable to believe).
Katanya, pembelaan itu tidak mempunyai merit dan gagal memenuhi beban pembuktian atas imbangan kebarangkalian bagi menangkis anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009.
Dengan keputusan tersebut, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah, sekali gus mensabitkan tertuduh atas kesemua pertuduhan yang dihadapi.
Prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah manakala tertuduh diwakili peguam, A. Ashok. – UTUSAN











