JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan simulasi bagi memastikan 44,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini dapat menduduki peperiksaan dengan selamat, minggu hadapan walaupun penutup sekolah dilanjutkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang mengenal pasti kemudahan sesuai untuk digunakan bagi pelaksanaan peperiksaan berkenaan.
Beliau berkata, JPNJ turut mempertimbang menjadikan dewan atau bilik berhawa dingin di sekolah serta dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai lokasi alternatif bagi memastikan keselesaan dan keselamatan calon SPM.
“Selain menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan peperiksaan ketika penutupan sekolah, pihaknya telah membuat penyelarasan bersama JPNJ, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru dan ibu bapa.
“Walaupun sekolah ditutup sepanjang minggu lalu, tempoh tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pendidik dan pentadbir untuk merangka dan menguji keberkesanan SOP menerusi latihan simulasi di lapangan.
“Calon SPM yang dibenarkan hadir diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa, mengelakkan aktiviti di luar bilik peperiksaan dan pulang ke rumah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan,” katanya.
Muhammad Naqib berkata, keselamatan dan kesihatan calon SPM menjadi keutamaan JPNJ bagi memastikan pelajar dapat menduduki peperiksaan penting itu tanpa didedahkan kepada udara tercemar.
“Selain itu, tempoh keberadaan pelajar di sekolah juga perlu dihadkan bagi mengurangkan pendedahan mereka kepada udara tercemar. Keputusan melanjutkan penutupan sekolah dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), ramalan meteorologi, data satelit dan tempoh pendedahan kepada jerebu.
“Indikatornya bukan IPU semata-mata. Kita lihat berapa lama seseorang berada di luar dan berapa kerap mereka terdedah kepada udara berkenaan. Semakin lama mereka berdepan udara tercemar dan semakin banyak disedut, semakin besar risiko terhadap kesihatan.
“Kita faham keresahan ibu bapa di luar sana. Justeru, menerusi kesiapsiagaan dry run dan komunikasi dua hala yang diperkemas ini, kita optimis peperiksaan SPM dapat dijalankan tanpa kompromi terhadap aspek kesihatan pelajar,” katanya. – UTUSAN











