RUU Perusahaan Milik Kerajaan dijangka lulus tahun ini - Utusan Malaysia

RUU Perusahaan Milik Kerajaan dijangka lulus tahun ini

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perusahaan Milik Kerajaan dijangka akan diluluskan tahun ini bagi memperketat kawal selia dan tadbir urus agensi kerajaan susulan kerugian berbilion ringgit akibat pelanggaran yang berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rang undang-undang itu sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan bagi memastikan semua agensi kerajaan tertakluk kepada peraturan lebih ketat.

“Kita sedang menyiapkan dan Insya-Allah akan membentangkan Rang Undang-Undang Perusahaan Milik Kerajaan. Ini untuk kawal selia supaya peraturan itu lebih kemas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Badan-badan agensi termasuk Bumiputera yang jadi kecelaruan ini kerana kita beri amanah dan mengharapkan mereka manfaatkan, tetapi pelanggaran itu terlalu ketara sehingga ruginya bukan sedikit, berbilion ringgit.

“Jadi mudah-mudahan kita dapat luluskan tahun ini juga supaya semua agensi kerajaan ini juga tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dan Kementerian Kewangan memperketat tatacara kewangan, khususnya dalam proses kelulusan pelaburan berskala besar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan langkah pencegahan bagi mengelakkan ketidakaturan tadbir urus dan kewangan, susulan pelbagai pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara serta tindakan tangkapan, siasatan dan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Ketika pembentangan Belanjawan 2027, Anwar berkata, cadangan undang-undang itu bertujuan mengelakkan berulangnya ketirisan dan skandal yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, rang undang-undang berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda reformasi Malaysia Madani ketika kerajaan memasuki tahun kelima pentadbirannya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan bekerjasama rapat dengan GLC dan sektor korporat bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini