PN mahu cabar perintah pembatalan RoS - Utusan Malaysia

PN mahu cabar perintah pembatalan RoS

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga akan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesan keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah pada Khamis ini.

Beliau berkata, PN menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan tindakan dikenakan dan pendirian mereka di mahkamah semasa pendengaran permohonan penangguhan PN pada Khamis ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PN turut akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan belakangkan proses mahkamah. Parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Takiyuddin berkata, keputusan membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum pendengaran permohonan menangguhkan notis ketidakpatuhan dan menggantung aktivitinya oleh RoS, menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.

Katanya, 6 Oktober lalu, RoS menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah dan institusi itu menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh pendengaran penangguhan setelah Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes.

Tambahnya, PN telah melakukan permintaan bertulis pada 14 Oktober supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran tidak dijawab, manakala semalam hujahan Peguam Negara menyatakan proses pembatalan masih berjalan tanpa memaklumkan pembatalan akan dibuat hari ini.

“Namun, sebelum pendengaran berlangsung, pendaftaran PN dibatalkan sehingga keadaan yang menjadi pokok pertikaian berubah secara mendasar.

“Kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberikan ruang kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan itu menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide serta tujuan politiknya.

Katanya, notis RoS dikeluarkan pada 22 September, ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya dan pembatalan hanya sebelas hari sebelum penamaan calon.

“Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai juga bercanggah dengan pendirian bertulis RoS pada tarikh tersebut bahawa jabatannya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan, sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai tidak memuaskan tanpa alasan substantif,” katanya.

Beliau berkata, PN mengecam tindakan itu sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang pilihan raya Melaka.

Katanya, sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatutnya bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan Hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini