SHAH ALAM: Penyanyi, Zaki Yamani, berkata, dia sudah bekerja keras sejak usia 13 tahun dan tidak bergantung kepada wang bapanya, Datuk Jamal Abdillah untuk meneruskan kehidupan.
Kongsi Zaki, orang terdekat dalam hidupnya pasti tahu bahawa dia mencari wang untuk membayar semua keperluan hidupnya sendiri tanpa bergantung kepada sesiapa
“Bagi saya, kita tidak bolehlah merendahkan individu lain. Siapa yang menyokong saya dari awal mereka tahu bagaimana saya kuat bekerja.
“Saya tak guna duit ayah mahupun duit sesiapa. Saya bekerja untuk membayar komitmen sendiri. Hanya yang rapat saja tahu,” katanya.
Zaki ditemui semasa Anugerah Melodi Terhangat 2026 yang diadakan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, baru-baru ini.
Sementara itu, kata Zaki, dia enggan memikirkan kata-kata warganet yang seolah memperkecilkannya selepas sering dilihat melakukan sesi siaran langsung bersama sahabatnya, Azeva.
Ramai meminta Azeva mencari teman yang lebih kaya sekaligus seolah tidak merestui persahabatan mereka berdua.
“Saya tak kisah orang nak cakap apa, bukan mereka (netizen) yang bayar rumah, kereta dan bil-bil lain.
“Saya pun sudah bekerja daripada usia 13 tahun sampailah nak masuk umur 21 tahun.
“Mungkin mereka jarang nampak golongan awal usia ini bekerja sendiri untuk membayar komitmen,” katanya.
Bercakap tentang kewangan, Zaki berkata, dia seorang lelaki yang gemar menabung untuk kepentingan masa hadapan.
“Ramai yang mungkin ingat saya tiada simpanan wang tetapi sebenarnya saya seorang yang memang memikirkan tentang masa depan.
“Ibu saya antara individu yang selalu ingatkan untuk menyimpan wang. Saya juga ambil pelajaran daripada ayah juga, kita memang perlu menyimpan duit untuk masa depan.
“Saya nak beli rumah, buat bisnes. Sebagai anak muda tak bolehlah boros sangat. Kalau nak berbelanja, 70 peratus simpanan, guna 30 peratus saja daripada gaji. Itu prinsip saya,” jelasnya. -UTUSAN











