PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melihat pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) seperti sebuah kapal yang tidak lagi mampu meneruskan pelayaran dengan pihak yang berjasa membinanya terus dipersalahkan.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan kepemimpinan pihak yang diibaratkan sebagai nakhoda, selain menyindir jurumudi utama yang digambarkan masih tercari-cari tempat untuk kembali.
“Berapa hari tuan nakhoda mengemudi bahtera perjuangan? Di setiap masa, mualim yang berjasa pasti dipersalahkan atas kelemahan nakhoda. Sedangkan jurumudi utama sentiasa sesat mencari rumah yang mana satu nak balik,” katanya hari ini.
Hari ini, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13 (1) (c) (iv) Akta Pertubuhan 1966.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu setelah pihaknya mengeluarkan notis pada 22 September.
Ahmad Faizal turut mempersoalkan, bagaimana sebuah perjuangan yang dibina dengan tenaga dan usaha sendiri mahu dirobohkan begitu sahaja.
“Kini, bahtera perjuangan tidak boleh lagi berlayar. Pasti, mualim juga dipersalahkan. Mana mungkin bahtera yang mualim bina dengan tulang empat kerat melalui kudrat sendiri mahu dirobohkan begitu sahaja?,” katanya.
Beliau menyindir kepercayaan yang masih diberikan kepada nakhoda dan seorang individu yang digambarkan terlalu berkeinginan untuk mengambil alih kedudukan berkenaan.
“Meskipun demikian, tuan nakhoda dan seorang kelasi biasa. Namun, gila nak jadi nakhoda, tetap dipercayai,” katanya.
Beliau mendakwa, terdapat pihak yang saling menipu atas nama ‘penyatuan ummah’ dan pengikut masing-masing terus mempercayai mereka.
“Tuan-tuan pun saling menipu sesama sendiri atas nama penyatuan ummah. Anak buah masing-masing pun percaya bulat-bulat. Kasihan,” katanya.
Ahmad Faizal berpesan kepada mereka yang baharu menyertai perjuangan supaya tidak mudah mempercayai individu yang terlalu berkeinginan menjadi pemimpin.
“Ada kawan-kawan yang baru naik bahtera, aku berpesan. Jangan ‘le kome cepat benor’ percaya kelasi biasa yang gila nak jadi nakhoda,” katanya. – UTUSAN











